Fosil dinosaur spesies baru dijumpai di Mexico

Fosil dinosaur spesies baru dijumpai di Mexico

Ahli paleontologi berjaya menemui tinggalan fosil spesis Tlatolophus galorum berusia 72 juta tahun itu

Ilustrasi spesis Tlatolophus galorum.

Sekumpulan ahli paleontologi akhirnya berjaya mengenal pasti satu spesies baru dinosaur di Mexico selepas menghabiskan masa hampir satu dekad mencari tinggalan fosil berusia 72 juta tahun itu.

Menurut Institut Antropologi dan Sejarah Mexico (INAH), berdasarkan 80 peratus rangka yang ditemui, spesis itu dikenal pasti sebagai Tlatolophus galorum iaitu dinosaur yang mempunyai jambul.

INAH berkata, mereka turut membuat pengesahan itu berdasarkan perbandingan dilakukan pakar dengan beberapa spesis lain.

Siasatan itu turut dilakukan beberapa pakar daripada Universiti Autonomi Mexico yang mula membuat satu penemuan bahagian ekor di Coahuila pada 2013.

“Sebaik saja kita menemui bahagian ekor, kerja penggalian diteruskan di tempat sama.

“Apa yang mengejutkan ialah kami menemui beberapa bahagian tulang lain seperti femur, scapula dan elemen lain,” kata seorang saintis, Alejandro Ramírez.

Mereka kemudiannya memungut, membersihkan dan melakukan analisa terhadap pecahan tulang daripada bahagian depan tubuh dinosaur berkenaan.

Setakat ini, mereka sudah menemui bahagian jambul berukuran 1.32 meter panjang termasuk beberapa bahagian tulang tengkorak, rahang serta neurocranium, kata INAH.

Badan antropologi itu turut menjelaskan maksud nama spesies terbabit, Tlatolophus galorum yang berasal daripada beberapa perkataan.

Menurut mereka, Tlatolophus adalah gabungan dua perkataan yang berasal daripada bahasa Orang Asli Mexico, Nahuatl yang bermaksud ‘perkataan’.

INAH menjelaskan, dalam bahasa Yunani pula ia bermaksud ‘jambul’ manakala Galorum pula merujuk kepada mereka yang mempunyai kaitan dengan penyelidikan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.