Dubai pegang rekod kolam renang infiniti tertinggi dunia

Dubai pegang rekod kolam renang infiniti tertinggi dunia

Ia dibina dengan ketinggian yang hampir sama dengan Menara Eiffel di Paris.

Dubai memegang rekod dunia dengan memiliki kolam renang infiniti tertinggi dunia. (Gambar Address Hotel + Resorts)

Berenang di sebuah kolam terbuka sambil melihat panorama indah yang terbentang luas mungkin menjadi impian semua orang.

Lebih menakjubkan lagi apabila pengalaman itu boleh dinikmati pada ketinggian 304 meter dari aras laut seperti yang dibina Dubai.

Kolam renang infiniti tertinggi dunia itu terletak di atas bumbung Address Beach Resort yang baru saja dibuka dan ia dibina dengan ketinggian 293 meter, iaitu hampir sama dengan ketinggian Menara Eiffel di Paris.

Ia juga hampir dua kali lebih panjang berbanding kolam bersaiz Olimpik iaitu 94.84 meter manakala lebarnya pula adalah 16.5 meter.

Sambil berendam menyaksikan pemandangan indah, tetamu juga boleh melihat roda ferris Ain Dubai yang tertinggi dunia selain keindahan pasir putih terbentang sepanjang Pantai Jumeirah.

Bagaimanapun, kolam yang diiktiraf dalam Guinness World Record itu hanya dibuka kepada tetamu hotel berusia 21 tahun ke atas saja.

Di resort itu juga terletaknya Address Beach Residences yang menempatkan dua menara berhubung di bahagian bawah selain sky bridge di tingkat 63 hingga 77.

Jambatan itu sebenarnya menempatkan apartmen mewah yang terletak pada ketinggian 294.36 meter sekali gus menjadikannya sebagai paras skybridge yang boleh dihuni tertinggi dunia.

Selain itu, Jumeirah Gate yang baru dibuka Disember tahun lalu menjadi satu lagi struktur binaan menakjubkan yang menghiasi pemandangan di kawasan terbabit.

“Kami bangga dapat memecah dua rekod menerusi World Guinness World Record menerusi pembinaan Address Beach Resort.

“Dengan kecanggihan yang ada pada pembinaan ini serta pelbagai kemudahan hebat, projek pembangunan ini menjadi satu standard baru dalam mewujudkan penginapan serta gaya hidup mewah,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Al Ain Holding, Federico Rota.

Baru-baru ini, satu lagi rekod baru dicipta di London menerusi pembinaan kolam renang lutsinar tergantung yang pertama di dunia terletak bersebelahan bangunan Kedutaan Amerika Syarikat (AS).

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.