Royal Caribbean lancar kapal persiaran terbesar dunia tahun depan

Royal Caribbean lancar kapal persiaran terbesar dunia tahun depan

Kapal persiaran terbaru dikenali sebagai Wonder of the Seas dilengkapi dengan pelbagai kemudahan aktiviti sukan lasak termasuk zip line.

Kapal persiaran Wonder of the Seas akan memulakan pelayaran tahun depan. (Gambar Royal Caribbean)

Sebuah kapal persiaran terbaru milik syarikat Royal Caribbean bakal menjadi kapal terbesar di dunia sebaik dilancarkan pada tahun depan.

Kapal dikenali sebagai Wonder of the Seas yang berpangkalan di Shanghai, China itu turut dilengkapi dengan kemudahan aktiviti sukan lasak terbang kelawar (zip line) sepanjang 25 meter selain permainan luncur, Ultimate Abyss setinggi 10 tingkat.

Kapal terbabit yang berukuran 362 meter panjang dan 64 meter lebar itu masih lagi dalam pembinaan di Saint-Nazaire, Perancis.

Ia mempunyai 18 dek, 2,867 bilik dan mampu memuatkan sehingga 6,988 tetamu.

Menurut syarikat itu, kapal persiaran terbabit menyediakan kemudahan terbesar dunia yang tiada tandingannya dengan kapal lain selain dibina dengan konsep kejiranan.

Penumpang berpeluang melihat taman pertama di atas laut yang menempatkan lebih 20,000 tumbuh-tumbuhan di salah satu kawasan di atas kapal yang dikenali sebagai Central Park.

Pada masa sama, kapal persiaran ini turut menyediakan pelbagai aktiviti menyeronokkan kepada penumpang seperti aktiviti memanjat tembok tiruan serta taman hiburan bertaraf antarabangsa.

Ruang Royal Promenade pula akan menjadi nadi buat kapal terbabit yang menggabungkan pengalaman membeli-belah, menikmati hidangan mewah serta hiburan.

“Ia memberi pengalaman yang tidak boleh diperolehi di tempat lain. Ia menyediakan tempat makan mewah bertaraf dunia, dek yang menyediakan pemandangan indah, restoran serta ruang persendirian.

“Selain itu, ia juga sesuai dijadikan sebagai percutian keluarga kerana kita menyediakan Ultimate Family Suite,” kata jurucakap syarikat berkenaan.

Wonder of the Seas dijangka tiba di Shanghai pada Mac tahun depan dengan musim pelayaran selama empat hingga sembilan malam dan kini sudah dibuka untuk tempahan.

“Penumpang akan mengikuti pelayaran ke destinasi popular di Asia. Bermula Mac hingga November tahun depan, mereka boleh melakukan pelayaran dari Shanghai ke Jepun untuk menikmati pemandangan di lokasi itu,” kata Royal Caribbean.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.