Barbacoa, lokasi wajib untuk peminat barbeku

Barbacoa, lokasi wajib untuk peminat barbeku

Restoran terbaharu di Bangsar ini menyediakan hidangan barbeku, sosej dan burger penyek.

Daniel memanggang beberapa sosej di Barbacoa. (Gambar Moganraj Villavan)
KUALA LUMPUR:
Pada mulanya, penulis seakan tidak pasti sama ada benar-benar terdapat sebuah restoran di sini memandangkan apa yang dilihat hanya beberapa buah basikal.

Kemudian terpandang pula sebuah papan tanda kuning tertulis ‘The Basikal’ pada bangunan lama setinggi tiga tingkat di Jalan Bangsar.

Barbacoa terletak di bangunan tiga tingkat dikenali sebagai The Basikal. (Gambar Moganraj Villavan)

Pencarian berakhir apabila penulis menemui sekeping papan tanda hijau tertulis ‘Get Smashed Burgers Here’ sebelum disambut seorang yang memperkenalkan dirinya sebagai Daniel Anis iaitu orang bertanggung jawab menyediakan hidangan enak di restoran barbeku terbaru, Barbacoa.

Menu Barbacoa terdiri daripada daging barbeku dan burger penyek. (Gambar Moganraj Villavan)

Sebaik dijemput masuk, penulis berjalan melepasi beberapa basikal yang berkilau, sebuah mesin kopi serta kedai gunting rambut kecil sebelum ternampak Barbacoa di bahagian hujung.

“Sebelum membuka Barbacoa, saya berkecimpung dalam bidang minuman dan makanan, bekerja dalam kumpulan bersaiz sederhana serta mengendalikan banyak cawangan selama empat tahun.

“Saya menguruskan keperluan logistik, cawangan dan membangunkan makanan serta mencipta menu,” kata Daniel yang menjelaskan dia jua pernah memiliki sebuah kafe di Jalan Tun Razak sebelum meninggalkan perniagaan itu.

Terdapat seorang pelanggan yang begitu asyik memilih makanan daripada menu sebelum Daniel meninggalkannya sambil tersenyum.

“Dia datang dari Seremban sekurang-kurangnya tiga kali seminggu untuk menikmati burger kami,” jelasnya.

Namun, penulis tertanya-tanya bagaimana Daniel menemui satu lokasi seperti ini di tengah bandar Kuala Lumpur.

“Saya sebenarnya seorang pelumba basikal,” kata Daniel yang sebelum ini sering berkunjung ke The Basikal dan mengetahui terdapat satu bilik stor yang tidak digunakan.

Dia terus mendapat idea dan menyakinkan pemiliknya, Akmal Azfar Abdul Mutalib untuk menyewakan ruang itu sebelum Barbacoa memulakan perniagaan pada Oktober tahun lalu.

“Apa yang saya suka mengenai bangunan ini ialah ia mempunyai halaman depan. Ia membolehkan saya menyediakan makanan berkonsepkan barbeku dan lokasi ini juga bercirikan bangunan lama yang menarik,” katanya.

Burger penyek. (Gambar Moganraj Villavan)

Peminat barbeku itu mengakui dia sering memasak makanan itu sebagai hobi di belakang rumahnya dan kali ini ia menjadi satu punca rezeki buatnya.

Pada asalnya, ia bermula sebagai restoran taco dan barbeku dan kini ia bertukar kepada daging barbeku dan burger penyek iaitu satu hidangan istimewa Ramadan.

Proses penyediaan burger dilakukan dengan teliti oleh Daniel yang mengambil masa dua minggu untuk memilih bahagian daging yang betul.

Dia juga perlu menentukan beberapa aspek lain juga seperti saiz kisaran daging, bahagian lemak, potongan daging, berapa kali yang perlu dikisar serta jenis roti burger.

Daniel mengambil masa dua minggu untuk menyediakan daging sempurna untuk burgernya. (Gambar Moganraj Villavan)

“Apa yang kami sediakan sekarang ialah campuran roti brioche dan roti manis. Ia adalah gabungan sempurna kerana tidak terlalu berlemak atau terlalu manis.

“Dagingnya juga nipis dan boleh dinikmati beberapa keping dalam sebiji burger, seperti dalam menu yang diperkenalkan saya. Ia menjadi kegemaran pelanggan,” katanya.

Burger Ayam BBQ Barbacoa. (Gambar Moganraj Villavan)

Jika anda bukan peminat daging, Burger Ayam BBQ Barbacoa adalah pilihannya yang menyediakan daging ayam penuh berperisa, pasti memuaskan hati anda.

Selain itu, jangan lupa untuk mencuba sosej ayam yang dihasilkan menggunakan lapan jenis herba selain sosej kofta terdiri daripada campuran kambing dan daging, dihidangkan bersama salsa buatan sendiri bagi menyeimbangkan rasa daging berkenaan.

Sosej kofta diperbuat daripada campuran daging kambing dan lembu. (Gambar Moganraj Villavan)

Apa yang membezakan daging dan sosej di Barbacoa dengan restoran lain?

Ia tidak dicampur dengan bahan pengawet dan semua daging dikisar sendiri bagi memastikan semua produk dijamin halal dan berkualiti.

Di negara barat, daging salai dihasilkan dengan penggunaan pelbagai kayu seperti ceri, epal dan pain tetapi Daniel memilih bahan tempatan seperti rambutan, mangga dan kayu pokok manggis untuk memberi rasa manis kepada daging berkenaan.

Bagi kebanyakan orang, hidangan seperti ini pasti mahal tetapi jangan bimbang kerana harga yang ditawarkan di Barboca adalah berpatutan.

Daging lembu salai dihidangkan bersama kentang lenyek bersama kuah, roti, serta coleslaw. (Gambar Moganraj Villavan)

Anda boleh menikmati hidangan lazat iaitu daging lembu salai seberat 100 gram bersama roti lembut, kentang lenyek dan kuah serta coleslaw pada harga RM25 saja.

Daniel juga mempunyai perancangan untuk membawa hidangannya ke REXKL menerusi pembukaan kiosk di sana.

“Saya sukakan suasana zaman dulu di tempat itu. Kita berharap dapat membukanya dalam tempoh beberapa hari lagi,” katanya.

Jika anda berkunjung ke Bangsar, jangan lupa untuk singgah di The Basikal untuk meluangkan masa melihat pelbagai basikal cantik dipamerkan selain boleh menikmati secawan kopi dan menggunting rambut.

Lebih penting lagi, anda wajib merasai keenakan daging dan burger penyek dihidangkan di Barbacoa.

Jika bernasib baik, anda boleh melihat Daniel menyediakan sendiri daging salai yang berasap dari ruang halaman terbuka di restoran tersebut.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh melihat akaun Instagram dan Facebook Barbacoa atau hubungi mereka di talian 019 2178869.

Barbacoa
(Dalam premis The Basikal)
No 89, Jalan Bangsar,
Bangsar,
52900 Wilayah Persekutuan,
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Waktu Operasi: 12pm -9pm, Selasa – Ahad (tutup Isnin)

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.