
Pengalaman menarik itu boleh dirasai di Esplanade, Padang Kota Lama, di sini apabila pelbagai set lampu dan arca yang menggambarkan pemandangan dan tarikan pelancongan popular dari lapan negara termasuk China, Australia, England, India, Perancis dan Amerika Syarikat bergemerlapan pada pukul 8.00 malam bermula semalam.
Suri rumah berusia 37 tahun yang hanya mahu dikenali dengan nama Law, bersama dua anaknya ketika ditemui di sini menzahirkan rasa kagum terhadap arca yang terang-benderang, selain bangunan-bangunan tinggi seperti Menara Eiffel dan Patung Liberty yang dirasakan beliau antara yang paling menarik.
Law memberitahu Bernama bahawa mereka hanya memerlukan kira-kira 30 minit untuk “melancong ke lapan negara berkenaan.

Jelasnya walaupun masih takut untuk benar-benar melancong ke luar negara berikutan pandemik COVID-19 yang terus menular, dia tetap merindui pengalaman melancong ke negara-negara jiran seperti Thailand dan Singapura.
“Anak-anak juga pastinya suka melancong ke negara-negara lain untuk melihat bangunan tinggi ini yang betul-betul,” katanya.
Sementara itu seorang Eksekutif Pemasaran Atikah Suhaimy, 28, berkata, dia dan keluarganya tidak menyangka menyaksikan pesta cahaya itu ketika sedang berbuka puasa di Esplanade malam tadi.
“Apa yang cukup mengagumkan ini adalah kali pertama kami berbuka puasa di sini dan kami terpaku ketika melihat lampu menyala kira-kira jam 8.00 malam,” katanya, sambil menambah bahawa set arca cahaya yang menarik ialah di negara Emiriah Arab Bersatu (UAE), iaitu tanglung Burj Khalifa, yang menurutnya kelihatan paling menonjol.
Pesta cahaya adalah salah satu inisiatif kerajaan negeri Pulau Pinang yang dikenali sebagai Penang Brings The World to your Doorstep, yang dipamerkan hingga akhir Jun.
Pengerusi Jawatan kuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang (PETACE) Yeoh Soon Hin berkata kerajaan negeri telah mengeluarkan peruntukan RM400,000 untuk program itu.
“Bergantung pada maklum balas orang ramai, kami mungkin menimbangkan untuk memperluas program itu agar dapat dinikmati oleh masyarakat,” tambahnya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]