
Tanjung Bungah: Suasana di Batu Ferringhi terus sepi daripada kehadiran ribuan pengunjung yang sering riuh melakukan aktiviti sukan air di situ.
Hari-hari yang dilalui lapan lelaki di Sky Sea dan Shore juga berubah sepenuhnya apabila mereka hanya mampu melihat jet ski dan jaket keselamatan tersadai begitu saja.
Kini, sudah lebih 365 hari pantai di Pulau Pinang menutup pintunya kepada orang ramai dan kesunyian itu membuatkan lelaki tersebut terasa buntu kerana tidak tahu apa yang ingin dilakukan.
Industri pelancongan yang menerima tamparan hebat sejak tahun lalu, turut merencatkan aktiviti sukan air di situ.

Sejak 19 tahun lalu, pantai menjadi sumber rezeki buat Mohamad Izahari menerusi kehadiran pelancong tempatan dan luar negara yang gemarkan aktiviti jet ski.
Sebagai ‘orang lama’ di Sky Sea and Shore, Mohamad sudah biasa dengan standard keselamatan yang perlu dipatuhi untuk memastikan semua pelancong dilindungi sepenuhnya.
Bagaimanapun, waktu bekerjanya yang bermula jam 9 pagi hingga 7 petang kini tidak lagi tertumpu kepada keselamatan pelancong sebaliknya kerisauan itu beralih kepada dirinya terutama bagaimana untuk terus bertahan.
Dia juga mempertimbangkan untuk melakukan kerja sambilan bagi mencari rezeki tambahan.

“Isteri hilang kerja selepas Holiday Inn ditutup. Walaupun ada bantuan kerajaan, namun agak sukar untuk bertahan dan saya turut mempertimbangkan kerja sambilan sebagai sumber rezeki tambahan,” katanya yang menjelaskan pendapatannya terjejas teruk sejak tahun lalu.
Penutupan Holiday Inn tahun lalu bukan hanya menjejaskan kehidupan Mohamad tetapi 17 lagi yang pernah bekerja bersamanya sebelum ini.
“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2019, terdapat 22 orang yang bekerja di sini dan kini hanya lapan orang, selebihnya terpaksa dibuang syarikat.

“Perniagaan kami mendapat sambutan baik kerana perkhidmatan meliputi dua hotel namun sekarang cuma tinggal hotel Park Royal saja,” katanya.
“Ketika perniagaan agak baik, kami mampu menjana hingga RM20,000 sehari namun sekarang langsung tidak ada.
“Sekarang kami hanya mempunyai peluang perniagaan pada hujung minggu saja,” kata Mohamad.

Mohamad dan rakannya di Sky Sea and Shore adalah sebahagian daripada pemain industri yang bergelut ketika ini dan ia diakui oleh Presiden Persatuan Pemandu Pelancong Pulau Pinang, Chin Poh Chin.
“Pemandu pelancong, hotel, kawasan tumpuan serta industri makanan serta minuman terjejas teruk tanpa sebarang pendapatan sejak Mac tahun lalu.
“Lebih-lebih lagi ketika pelaksanaan pelbagai jenis Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melarang orang ramai merentas negeri dan ia terus memburukkan keadaan,” katanya.

Biarpun keadaan di Batu Ferringhi masih sunyi namun Mohamad tetap muncul seperti biasa ke kawasan pantai setiap hari.
“Kami hanya menunggu PKP ini berakhir dan penduduk Kuala Lumpur dan Johor boleh datang ke sini,” katanya.
Menurut Chin, di sebalik kegusaran yang dihadapi, keadaan mungkin lebih baik untuk penggiat industri pelancongan seperti Mohamad.
“Sudah tentu selepas pandemik dan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, trend melancong akan berubah menerusi kumpulan lebih kecil seperti keluarga dan pelancong tempatan,” katanya.
Mohamad hanya mampu berharap keadaan akan kembali pulih bagi membolehkannya memberikan perkhidmatan yang menjanjikan pengalaman pelancongan menyeronokkan kepada pengunjung di Batu Ferringhi.
Sky Sea and Shore
PARKROYAL Penang Resort Batu Ferringhi Beach,
11100 Batu Ferringhi,
Pulau Pinang
Waktu Operasi: 9 pagi – 7 petang (Setiap hari)
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]