Kolam tergantung pertama dunia di kota London dibuka bulan depan

Kolam tergantung pertama dunia di kota London dibuka bulan depan

Kolam lutsinar di South London tergantung pada ketinggian 35 meter.

Kolam tergantung antara dua blok kediaman mewah di London bakal dibuka. (Gambar AFP)

Pernahkah anda terbayang untuk berenang dalam sebuah kolam lutsinar yang seolah-olah tergantung di udara?

Bunyinya agak menggerunkan terutama apabila membayangkan perasaan ketika melihat ke bawah tetapi ia sebenarnya wujud apabila kolam udara lutsinar pertama dunia atau Sky Pool akan mula dibuka di London bulan depan.

Menerusi beberapa keping gambar, terdapat beberapa orang mula mencuba kolam pertama dunia itu yang tergantung antara dua blok kediaman mewah bersebelahan bangunan Kedutaan Amerika Syarikat di Nine Elms, South London, England.

Sesiapa saja yang berenang di kolam terletak pada ketinggian 10 tingkat itu boleh melihat pejalan kaki di bawah dengan jelas selain pemandangan di kota London.

Kolam yang bakal dibuka pada 19 Mei yang dilengkapi spa dan bar itu adalah projek emas Embassy Gardens bernilai 1 bilion pound (RM5.7 bilion) terletak berhampiran Thames.

Tergantung pada ketinggian 35 meter, struktur ikonik itu menjanjikan pemandangan indah termasuk Bangunan Parlimen, London Eye dan menara pencakar langit di London.

Kolam dengan panjang 25 meter dan lima meter lebar itu dijangka akan menjadi lokasi paling eksklusif di seluruh Britain.

Kerja pembinaan yang rumit itu membabitkan sekumpulan arkitek berpengalaman, jurutera serta perunding yang mempunyai perincian teliti sebelum menempatkan struktur di antara dua bangunan terbabit.

Projek yang pada asalnya dijadualkan dibuka pada musim panas itu adalah tumpuan utama pembangunan Embassy Gardens oleh EcoWorld Ballymore yang menempatkan 2,000 rumah dan apartmen mewah, kedai, pejabat, bar serta restoran.

Naib Pengerusi Eksekutif EcoWorld International, Tan Sri Liew Kee Sin berkata, pembinaan Sky Pool dianggap sebagai projek yang sangat menarik dan mereka berbesar hati dapat menjadikannya sebagai realiti.

“Pembukaannya akan menjadi peristiwa penting bagi pembangunan ini dan kawasan Nine Elms secara keseluruhannya memandangkan ia akan menjadi pemandangan menakjubkan untuk dilihat pengunjung serta orang ramai.

“Ia adalah produk yang melambangkan inovasi, imaginasi, cita-cita unik dan kami berharap penduduk dan ahli perniagaan di kawasan ini bangga dengan pembinaan Sky Pool ini,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.