8 arkitek Mesir pemenang pertandingan membina semula Masjid al-Nouri di Mosul, Iraq

8 arkitek Mesir pemenang pertandingan membina semula Masjid al-Nouri di Mosul, Iraq

Mereka muncul pemenang dalam pertandingan antarabangsa untuk membangunkan semula kompleks bersejarah yang rosak teruk dalam konflik yang berlaku pada 2017.

Ilustrasi projek oleh pemenang dengan rekaan bertajuk ‘Courtyards Dialogue’. (Gambar Unesco)

Lapan arkitek warga Mesir muncul sebagai pemenang dalam pertandingan antarabangsa untuk membangunkan semula kompleks bersejarah Masjid al-Nouri di Mosul, Iraq, kata penganjur pemilihan, UNESCO.

Mereka yang menang dengan rekaan bertajuk ‘Courtyards Dialogue’ itu dipilih di kalangan 123 peserta dalam pertandingan itu.

Kompleks terbabit rosak teruk dalam konflik yang berlaku pada 2017 dan pembangunan semula masjid itu adalah sebahagian daripada projek organisasi berkenaan untuk memulihara bandar bersejarah berkenaan.

Masjid yang dibina pada abad ke -12 itu terkenal dengan menara condongnya, musnah dalam peperangan antara kumpulan pengganas IS dan tentera Amerika Syarikat serta Iraq dikenali sebagai Peperangan Mosul.

Kumpulan pengganas itu dituduh mengebom tapak kompleks terbabit sebelum ditahan oleh tentera kerajaan.

Menurut Ketua Pengarah UNESCO, Audrey Azoulay, ia akan menjadi mercu tanda terhadap proses mendamaikan semula bandar yang hancur akibat perang selain membentuk semula perpaduan sosial.

“Tapak warisan dan monumen bersejarah adalah pemangkin paling kuat terhadap semangat kekitaan, komuniti serta identiti.

“Ini adalah kunci untuk menghidupkan semula semangat Mosul dan Iraq secara keseluruhannya,” katanya.

Pasukan dari Mesir yang memenangi pertandingan itu terdiri daripada empat rakan iaitu Salah El Din Samir Hareedy, Khaled Farid El-Deeb, Sherif Farag Ebrahim dan Tarek Ali Mohamed.

Empat lagi arkitek ialah  Noha Mansour Ryan, Hager Abdel Ghani Gad, Mahmoud Saad Gamal dan Yousra Muhamed El-Baha.

Projek yang bermula akhir tahun ini bertujuan membina semula dewan solat bersejarah al-Nouri dan kompleks berintegrasi yang menjadi ruang orang ramai terbuka yang terbesar di Bandar Lama Mosul.

UNESCO melancarkan pertandingan itu pada November tahun lalu dengan kerjasama Kementerian Budaya Iraq dan Wakaf Sunni Iraq dengan sokongan Emiriah Arab Bersatu.

Ia adalah sebahagian inisiatif ‘Menghidupkan Semula Semangat Mosul’ dengan memulihkan bandar itu dan kehidupan budayanya serta memperkasakan sistem pendidikan.

Selain dianugerahkan kontrak projek kompleks itu, pemenang juga akan menerima hadiah wang tunai berjumlah AS$50,000 (RM206,448).

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.