Hidangan kelas pertama All Nippon Airways habis ditempah

Hidangan kelas pertama All Nippon Airways habis ditempah

ANA manfaat pesawat yang tersadai dengan menawarkan hidangan kelas pertama kepada penumpang.

Seorang pelanggan kanak-kanak yang menikmati makanan dalam pesawat ANA. (Gambar ANA)

Walaupun sektor penerbangan terjejas teruk akibat sekatan perjalanan yang dikenakan akibat pandemik Covid-19, namun ada cara lain yang digunakan sebuah syarikat penerbangan termasuk di Jepun untuk terus menjana pendapatan.

Ketika pesawat mereka tersadai di lapangan terbang, All Nippon Airways (ANA) tetap menawarkan perkhidmatan istimewa kepada penumpangnya yang ingin menikmati hidangan kelas pertama.

Sejak membuka slot semalam, ia dikatakan habis ditempah pelanggan yang ingin merasai keenakan satu hidangan berharga AS$ 540 (RM2,238) itu.

Pelanggan akan menikmati hidangan itu dalam pesawat Boeing 777 di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo.

Konsep digelar sebagai ‘restoran dengan sayap’ itu adalah idea kaki tangannya sendiri yang ingin memanfaatkan kegunaan pesawat terbabit biarpun ia tidak melakukan penerbangan.

Manakala syarikat penerbangan lain pula turut memikirkan idea kreatif bagaimana untuk memanfaatkan pesawat mereka yang masih tersadai ketika ini.

Namun, Australia masih cuba untuk mengembalikan operasi syarikat penerbangannya dengan pakej bernilai AS$1.2 bilion (RM4.97 bilion) untuk menggalakkan pelancongan domestik.

Industri penerbangan seluruh dunia berdepan cabaran paling sukar untuk terus kekal beroperasi ketika pelaksanaan kuarantin dan sekatan perjalanan diteruskan hingga ada syarikat yang lumpuh.

Pada Oktober lalu, Singapore Airlines juga menawarkan peluang menikmati makan tengah hari di dalam pesawat Airbus A380 di lapangan terbang.

Tawaran itu dikatakan mendapat sambutan baik apabila berjaya slotnya habis terjual dalam tempoh sejam.

Minggu lalu, British Airways turut melakukan inisiatif sama dengan menawarkan menu kelas pertama menerusi rakan catering, DO & Co dan ia boleh dibeli menerusi perkhidmatan penghantaran ke rumah.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.