
Kafe kucing dan anjing mungkin bukan lagi menjadi trend apabila sebuah kafe haiwan di Shanghai kini berkembang sebagai lokasi tepat bagi peminat haiwan eksotik.
Meskipun terdapat kebimbangan mengenai penyebaran wabak penyakit menerusi haiwan berkenaan, namun ia tidak menjejaskan perniagaan kafe seperti itu di China.
Bandar terbesar di negara itu mempunyai berpuluh kafe haiwan yang memberi peluang kepada pengunjung mengambil gambar bersama haiwan eksotik dan berkongsinya di media sosial.
Di sebuah kafe rakun, terdapat lapan ekor mamalia ditempatkan di situ dan paling besar dianggarkan mempunyai berat sebanyak 10 kilogram yang melompat-lompat di tepi tingkap.
“Saya rasa haiwan ini agak comel,” kata pemain bola tampar profesional, Kin Shiyu, 27, yang tahu mengenai kafe itu selepas melihat gambar rakannya.
Yuran masuk yang dikenakan kepada pengunjung ialah 98 yuan (RM62) namun ia sebenarnya tidak nampak seperti kafe sebenar kerana lebih banyak dipenuhi haiwan eksotik.
Kelakuan haiwan seperti rakun agak sukar dikawal dan sebab itu mereka tidak menyediakan minuman panas kepada pengunjung manakala menu makanan pula agak terhad.
Pemilik kafe, Chen Chen mengakui, dia tidak pernah mempunyai pengalaman melihat rakun secara dekat sebelum mengambil alih kafe itu pada akhir tahun lalu.
Katanya, haiwan itu boleh menjadi agresif dan dia turut dicakar pada bahagian lengan.
Peniaga berusia 36 tahun itu faham mengapa sesetengah orang mempersoalkannya apabila menempatkan rakun di dalam kafe.
Sebuah lagi kafe di Shanghai, menempatkan beberapa ekor ular, iguana dan cicak gecko untuk peminat haiwan eksotik.
Seorang pengunjung dikenali sebagai Tan berkata, kafe itu boleh membantu seseorang mengatasi rasa takut mereka.
“Selepas datang ke sini, mereka mungkin tidak merasa takut seperti yang dibayangkan kerana reptilia ini agak jinak,” katanya yang berusia 27 tahun.
Bagaimana pun, seorang saintis pemuliharaan haiwan dunia, Evan Sun berkata, dia amat bimbang dengan kewujudan kafe seperti itu.
“Hidupan liar hidup dengan teruk dalam kafe ini dan menderita selain tertekan dengan keadaan sekeliling. Interaksi secara dekat dengan hidupan liar bukan saja menimbulkan tekanan tetapi juga membiakkan penyakit,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]