Arca dalam laut

Arca dalam laut

Pembuat arca terkenal, Jason deCaires Taylor menghasilkan karya pertama dalam air di Laut Mediterranean.

Arca yang dihasilkan oleh Taylor. (Gambar Jason deCaires Taylor)

Seorang pembuat arca terkenal dengan hasil karya muzium dalam air yang memaparkan pelbagai koleksi arca menakjubkan, sekali lagi membuat kejutan apabila kali pertama menempatkan karyanya di dalam Laut Mediterranean.

Muzium dalam air terbaharu oleh Jason deCaires Taylor dilakukan berhampiran Ile Sainte-Marguerite iaitu salah satu Pulau Lerins berhampiran dengan sebuah pusat percutian menarik di Perancis.

Dia mengambil masa empat tahun untuk menyiapkan hasil kerja itu yang terdiri daripada enam arca potret tiga dimensi mempunyai tinggi berukuran lebih dua meter dengan berat 10 tan.

Menurutnya, semua karya itu adalah berdasarkan potret penduduk tempatan terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kerjaya termasuk nelayan berusia 80 tahun dari Maurice dan Anouk, murid sekolah berusia sembilan tahun.

Katanya, setiap wajah itu diberi sentuhan lebih baik dan dibahagikan kepada dua bahagian di mana bahagian luar kelihatan seakan topeng muka.

Taylor menjelaskan, tema topeng muka itu sebenarnya dikaitkan dengan sejarah Ile Sainte Marguerite yang terkenal sebagai lokasi Lelaki Bertopeng Besi dipenjarakan.

Arca terbabit ditempatkan pada kedalaman antara dua hingga tiga meter di bahagian selatan pulau berkenaan.

“Tempat ini dipilih supaya ia mudah diakses dan airnya yang jernih juga memudahkan ia dilihat dengan cara snorkelling.

“Sebelum ini, ia adalah lokasi insfrastruktur laut yang tidak digunakan. Sebahagian daripada projek ialah membersihkan tapak ini, mengeluarkan sisa infrastruktur seperti enjin lama, saluran paip bagi membolehkan arca dipasang,” katanya.

Usaha daripada projek itu menyebabkan kawasan terbabit lebih selamat untuk aktiviti snorkeling dan menyelam selain melindungi rumput laut daripada rosak.

Sebelum ini, pembuat arca warga British itu membina taman arca akuatik di beberapa lokasi seperti Mexico, Grenada, Bahamas, Lanzarote dan Maldives.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.