Kalau pergi Kelantan, jangan lupa beli snek-snek ini

Kalau pergi Kelantan, jangan lupa beli snek-snek ini

Kelantan yang terkenal dengan makanan manis itu juga popular dengan snek yang wajib anda cuba.

Antara snek-snek popular di negeri Kelantan. (Gambar blogspot.com)

Siapa yang pernah ke Kelantan atau anak kelahiran negeri cik Siti Wan Kembang pasti kenal dengan snek kegemaran masyarakat negeri itu.

Kata orang, tak lengkap berjalan ke sesebuah tempat atau negeri tanpa merasai makanan yang ada di tempat mereka kerana lain tempat lain budaya, lantas sedikit sebanyak turut mempengaruhi makanannya.

Kelantan lebih terkenal dengan makanan yang manis, baik kuih mahu pun lauk-pauknya. Selain itu terdapat juga snek yang popular di negeri ini dan wajib anda cuba atau bawa pulang apabila berkunjung ke Kelantan.

1. Celagi Masam Manis

Ia selalunya dijual di dalam bungkusan plastik lut sinar atau di dalam botol comel. (Gambar blogspot.com)

Sesuai dengan namanya, celagi masam manis sememangnya mempunyai rasa masam, manis dan sedikit pedas. Selalunya ia dijual di kedai runcit dan pasar setiap daerah di Kelantan.

Celagi masam manis mempunyai kaedah pembungkusan yang agak unik dan comel kerana dibalut menggunakan plastik lut sinar seperti gula-gula.

2. Kuih Bapan atau Bepe

Kuih bepe ini dijual dalam bentuk barbola atau segi empat. (Gambar puteri88.blogspot.com)

Kuih bapan atau disebut sebagai ‘bepe’ oleh rakyat Kelantan merupakan sejenis snek yang ringkas tetapi sedap. Terdapat dua jenis kuih bapan iaitu bapan beras dan bihun.

Secara ringkasnya, kuih ini diperbuat daripada beras (atau bihun) yang digoreng dalam minyak yang banyak dan digaul bersama gula Melaka yang dicairkan.

Kemudian, beras atau bihun ini akan dijadikan dalam bentuk bebola sebelum mengeras pada suhu bilik. Kemudian, terhasillah snek yang manis dan rangup dikunyah!

3. Sema atau Kuih Tepung Sema

Sema selalunya dihasilkan berwarna-warni seperti merah, merah jambu, kuning dan hijau. (Gambar mrschomot.blogspot.my)

Sema atau kuih tepung sema turut dikenali dengan beberapa nama lain seperti kuih gula tarik, slemang (dialek Terengganu), dan kuih semak dalam mulut.

Kuih ini merupakan salah satu snek tradisional Kelantan dan proses untuk membuat sema sebenarnya agak rumit serta memerlukan kemahiran yang tinggi.

Kanak-kanak (atau golongan dewasa) pasti akan menggemari sema kerana teksturnya yang begitu halus sehingga cair di dalam mulut.

4. Keropok Segera

Keropok segera merupakan snek yang cukup digemari ramai. (Gambar sohorkelate.blogspot.my)

Kunjungan anda ke Kelantan tidak akan lengkap tanpa mencuba dan membawa pulang keropok segera sebagai buah tangan.

Terdapat dua jenis keropok segera iaitu jenis biasa dan juga sira. Berbanding keropok keping biasa yang perlu digoreng terlebih dahulu, keropok segera telah siap dipek dan boleh terus dimakan.

Meskipun rupa kedua-dua keropok ini hampir sama, keropok segera mempunyai rasa dan tekstur yang sedikit berbeza berbanding keropok keping biasa.

5. Dodol Segitiga 3 Rasa

Dodol segitiga dibungkus comel dan mudah untuk dimakan. (Gambar luckybridetobe.blogspot.my)

Dodol segitiga banyak dijual di pasar-pasar di Kelantan, malahan tidak keterlaluan jika dikatakan setiap pasar wajib menjual dodol segitiga ini.

Sesuai dengan namanya, dodol segitiga ini dibungkus menjadi bentuk segitiga kecil dan mempunyai 3 warna, coklat untuk perisa gula Melaka, hijau untuk pandan dan kuning untuk perisa durian.

Berbanding dengan dodol yang dipek biasa, dodol segitiga lebih mudah untuk dimakan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja, dan ternyata lebih comel!

6. Kerepek Gulung atau Kerepek Lipat

Rasanya yang manis dan rangup membuatkan ia menjadi kegemaran ramai. (Gambar http://lh6.ggpht.com)

Kerepek gulung atau kerepek lipat dimakan pada waktu santai mahupun ketika minum petang. Di Selangor ia dipanggil kuih kapit.

Rasanya lemak manis dan rangup dan selalunya dibuat dalam bentuk gulungan atau dilipat.

Kerepek ini biasanya diusahakan secara kecil-kecilan oleh penduduk kampung.

7. Lempok atau Lepok Durian

Ia mempunyai rasa yang manis dan boleh disimpan untuk tempoh yang lama. (Gambar ecs3.tokopedia.net)

Lempok durian merupakan sejenis makanan dari Kelantan yang mempunyai rupa dan proses pembuatan seakan-akan dodol.

Namun begitu, kedua-duanya mempunyai rasa yang berbeza. Lempok dibuat dengan cara memasak durian bersama gula biasa atau gula Melaka, daun pandan dan sedikit garam.

Mempunyai rasa lemak manis dan harum buah durian, ia memerlukan masa yang lama untuk dimasak sehingga menjadi likat dan perlu sentiasa dikacau bagi mengelakkan adunan menjadi hangit dan berkerak.

8. Keropok Gotae atau Keropok Lekor

Keropok gotae juga boleh didapati dari peniaga goreng pisang di tepi jalan. (Gambar blogspot.com)

Selain negeri Terengganu, Negeri Kelantan juga agak terkenal dengan keropok lekor atau lebih popular dikenali dengan nama keropok gotae (gotae bermaksud uli dan gulung) oleh penduduk tempatan.

Diperbuat daripada isi ikan, tepung gandum, tepung kanji dan garam, keropok gotae boleh dibeli dalam bentuk mentah mahu pun yang telah siap digoreng.

Keropok gotae biasanya dicicah dengan sos lada yang dibuat sendiri, yang mempunyai rasa pedas, masam dan manis.

9. Ketupat Sotong

Ketupat sotong ini mempunyai rasa lemak, manis dan menyelerakan. (Gambar blogspot.com)

Ketupat sotong merupakan snek yang popular dan menjadi kegemaran rakyat Kelantan. Bahan-bahan yang digunakan ialah sotong, beras pulut, santan, gula Melaka dan santan.

Sotong dibersihkan terlebih dahulu sebelum disumbat dengan beras yang direndam di dalam santan. Ia kemudiannya dimasak bersama santan, gula Melaka dan daun pandan.

Ketupat sotong versi Kelantan berbeza daripada versi Terengganu kerana ia menggunakan gula Melaka berbanding versi Terengganu yang tidak menggunakan gula Melaka dan ditambah halba.

Sebagai negeri yang terkenal dengan selera rakyat yang sukakan makanan manis, tidak hairanlah kebanyakan makanan yang ada di Kelantan mempunyai rasa yang manis.

Apabila ada peluang untuk datang bercuti ke negeri Kelantan, jangan lupa untuk mencuba kesemua snek yang ada!

Artikel ini telah disiarkan di butterkicap.com Butterkicap adalah platfom dan komuniti yang menceritakan tentang makanan dan kebudayaan di Malaysia.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.