
Anda pasti pernah melihat iglu atau rumah salji yang digunakan oleh orang Eskimo. Tetapi pernahkah anda minum secawan kopi Kashmir panas atau cappuccino di dalamnya? Ya kami tidak bergurau, dan anda boleh mengalaminya sekarang.
Sebuah hotel persendirian di stesen bukit bersalji Kashmir yang terkenal, Gulmarg, telah membina sebuah Kafe Iglu. Ini adalah inisiatif pertama yang telah pun menarik perhatian ramai.
Apa itu Kafe Iglu?
Kafe iglu ini telah didirikan oleh seorang pemilik hotel bernama Waseem Shah yang mengatakan bahawa dia ingin mencipta pengalaman baru bagi para pengunjung di Gulmarg.
“Saya sendiri merupakan seorang pengembara dan telah melihat kafe yang serupa seperti di Switzerland. Oleh itu, saya fikir mengapa tidak melakukannya di sini.
“Ideanya adalah untuk mencipta pengalaman baru. Ini adalah yang pertama di Gulmarg. Saya berharap selepas ini lebih banyak kafe seperti ini akan muncul,” kata Syed Waseem Shah, pemilik Kolhai Resorts.
Iglu ini berukuran hampir 22 kaki lebar dan lebih 13 kaki tinggi. Pemiliknya berkata, mereka dapat melayani sekitar 16 orang tetamu di dalam restoran salji ini.
“Kami memerlukan sekitar 15 hari untuk membina Iglu ini dan menggunakan sekitar 300 hari dari segi buruh. Meja dan bangku semuanya diperbuat dari ais.
“Kami juga menggunakan beberapa tempat duduk untuk keselesaan. Sekarang ia kelihatan lebih baik dan kami bersedia untuk melayani tetamu di Iglu ini. Ia akan menjadi pengalaman indah buat semua,” kata Syed Waseem Shah.
Konsep restoran salji itu sememangnya baru di Kashmir. Namun, ia telah diuji di Findland, Kanada dan Switzerland.
Pelancongan Winter di Kashmir
Setelah kemerosotan pelancongan yang besar selama dua tahun berturut-turut di Kashmir iaitu pada 2019 yang menyaksikan penurunan aktiviti pelancongan secara drastik serta 2020 akibat pandemik, kini industri itu bangkit semula pada musim sejuk ini.
Penurunan salji di lembah itu baru-baru ini telah meningkatkan jumlah pelancongan. Stesen bukit seperti Gulmarg dan Pahalgam penuh dengan pelancong dan anggaran menunjukkan bahawa kebanyakan hotel mempunyai tempahan yang dibuat hingga akhir musim sejuk.
“Tidak ada sebab mengapa pelancong dari seluruh negara dan dari luar tidak boleh mengunjungi tempat yang sangat indah ini. Kami sangat berharap tahun ini, ia dikunjungi lebih ramai pelancong, kerana kebanyakan hotel di Gulmarg dan banyak lagi telah ditempah.
Kami akan melakukan yang terbaik untuk memasarkan lembah ini sebagai destinasi pelancongan,” kata Sarmad Hafeez, Setiausaha kepada Kerajaan J&K Pelancongan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]