Spesies Rafflesia Cantleyi ditemui di HSK Chabang Tongkat, Machang

Spesies Rafflesia Cantleyi ditemui di HSK Chabang Tongkat, Machang

Bunga yang ditemui ini baru sahaja sehari mengembang kelopaknya dengan lebar kelopak bunga 10 sentimeter.

Bunga Rafflesia Cantleyi ditemui di Hutan Simpan Chabang Tongkat. (Gambar Bernama)

Jika sebelum ini, sejenis Rafflesia ditemui di Lojing, Gua Musang, kini satu lagi habitat baharu bunga terbesar di dunia itu ditemui di Hutan Simpan Kekal (HSK) Chabang Tongkat, Machang.

Spesis yang ditemui itu adalah Rafflesia cantleyi iaitu lebih kecil saiznya berbanding Rafflesia kerrii yang tumbuh di Lojing.

Menurut Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK), Abdul Khalim Abu Samah, bunga yang ditemui ini baru sahaja sehari mengembang kelopaknya dengan lebar kelopak bunga 10 sentimeter.

“Biasanya ia akan berkembang dalam masa tujuh hingga sembilan hari sebelum mati. Di Machang kita dapati ada dua tempat terdapatnya bunga Rafflesia iaitu di HSK Ulu Sat dan HSK Chabang Tongkat.

“Susulan penemuan itu, pihak jabatan akan terus memantau bunga ini dan akan mengambil gambar serta video setiap minggu bagi merekodkan kitaran hidup bunga ini daripada awal sehingga akhir,” ujarnya.

Katanya lagi, meskipun Rafflesia yang ditemui ini lebih kecil berbanding yang tumbuh di Lojing, namun ianya tetap dalam kategori bunga terbesar di dunia.

Susulan penemuan Rafflesia tersebut, pihak Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan bercadang untuk memajukan ekopelancongan pada masa hadapan.

Malah, di HSK Ulu Sat dan Chabang Tongkat masih terdapat tunas-tunas Rafflesia dan pihak jabatan akan memastikan ianya dapat hidup dan berkembang dengan baik.

“Dalam keadaan ini kita akan pastikan pendaki tidak akan memasuki kawasan HSK yang sememangnya hutan tertutup dan bukannya hutan lipur.

“Di sini tidak semua pihak boleh memasukinya dan sekiranya mahu memasukinya perlu memohon permit dengan tujuan malah pihak jabatan akan melakukan pemantauan secara berterusan,” ujarnya lagi.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.