Bolivia beri cuti tambahan untuk rangsang industri pelancongan

Bolivia beri cuti tambahan untuk rangsang industri pelancongan

Kaedah unik harapkan hidup semula industri meleset akibat pandemik.

Bergantung kepada jumlah tahun perkhidmatan, kakitangan awam diberikan antara dua hingga empat minggu cuti tahunan.
LA PAZ:
Bagi menghidupkan semula industri pelancongan yang meleset akibat pandemik COVID-19, Bolivia melaksanakan kaedah unik dengan memberi cuti tambahan kepada kakitangan awamnya.

Lebih 500,000 orang berkhidmat sebagai kakitangan awam di negara Amerika Selatan yang mempunyai 11 juta penduduk itu.

Bergantung kepada jumlah tahun perkhidmatan, kakitangan awam diberikan antara dua hingga empat minggu cuti tahunan.

Namun, di bawah program terbaharu yang dilancarkan pada hujung Nov, golongan tersebut boleh mengambil lebih masa cuti sehingga 20 hingga 30 peratus untuk bercuti di dalam negara.

Virus korona memberi kesan negatif terhadap sektor pelancongan Bolivia yang mengalami kerugian dianggarkan satu bilion dolar.

“Kami perlu menghidupkannya semula, tetapi bantuan kerajaan diperlukan dan inilah cara untuk memulakannya,” kata menteri pembangunan produktif, Nestor Huanca.

Program itu akan berlangsung sehingga hujung 2021.

Bolivia mempunyai pelbagai destinasi pelancongan popular seperti pamah garam Uyuni, Tasik Titicaca lokasi upacara kerajaan kuno Tiwanaku selain kawasan simpanan semula jadi seperti Toro Toro.

La Paz, pusat pentadbiran tidak rasmi negara itu, juga popular dengan Pasar Bomoh dan laluan kayuhan basikal digelar Jalan Maut yang mempunyai peminat tersendiri.

Menurut institut statistik kebangsaan, pada 2019, negara itu menerima 1.47 juta pelancong asing yang membelanjakan secara purata ASD936.

Bagaimanapun, Bolivia menutup sempadannya pada Mac selepas virus korona mula merebak. Virus itu menjangkiti hampir 150,000 orang dan menyebabkan lebih 9,000 terbunuh.

Ratusan ribu kakitangan sektor pelancongan, yang merangkumi 4 hingga 5 peratus KDNK Bolivia, dianggarkan kehilangan pekerjaan.

Walaupun sektor itu bergantung kepada pelancong asing, institut statistiknya berkata lebih separuh penduduknya bercuti sekurang-kurangnya sekali pada 2018.

Bagaimanapun, tidak semua orang yakin kaedah ini akan berkesan.

“Saya tidak tahu bagaimana penerimaan kakitangan awam, mahupun lonjakan pelancong dalam negara mengenai perkara ini,” kata Helga Cisneros, presiden Dewan Perhotelan di La Paz.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.