
Pusat Pemuliharaan Beruang Matahari Borneo (BSBCC) menganjurkan lawatan maya sepanjang pandemik ini bagi membolehkan anda melihat sendiri aksi beruang matahari secara langsung dari kediaman anda.
“Ia tidak seperti berkunjung sendiri ke pusat di Sandakan dan melihat aksi beruang tersebut, tetapi inilah yang terbaik yang dapat kami lakukan sekarang, memandangkan sekatan akibat Covid-19,” kata Dr. Wong Siew Te, yang mengasaskan BSBCC pada tahun 2008.
Dua sesi diadakan setiap hari iaitu pada jam 10 pagi dan 2 petang di mana ia dikendalikan sendiri oleh Wong, yang turut terkenal dengan panggilan ‘Papa Bear.’ Setiap sesi berharga RM40 dan berlangsung selama lebih kurang satu jam.
“Kadang-kala, sesi berlangsung kira-kira 90 minit, kerana penonton dialu-alukan untuk mengajukan pertanyaan,” kata ahli biologi hidupan liar itu, sambil menambah dia ingin orang ramai mendapatkan pengalaman terbaik dari mereka.

Lawatan bermula di pusat pelawat dan akan menuju ke platform pemerhatian 1 dan 2, di mana Wong akan memberi beruang makan.
“Saya juga akan membincangkan tingkah laku mereka, selain menyentuh mengenai ekologi dan pemuliharaan,” kata lelaki berusia 52 tahun itu.
“Anda akan melihat dengan lebih dekat pergerakan beruang matahari, habitat semula jadi mereka dan juga bagaimana ia berinteraksi antara satu sama lain. Selain itu, saya juga akan berkongsi maklumat mengenai flora dan fauna tempatan kita seperti orang utan, kera, tupai dan pelbagai jenis pokok tropika,” kata Wong.

Terletak bersebelahan dengan Pusat Pemulihan Orangutan Sepilok di Sandakan, BSBCC adalah satu-satunya pusat pemuliharaan beruang matahari di dunia. Ia bertujuan untuk memberikan rawatan dan pemulihan terhadap beruang matahari yang diselamatkan serta meningkatkan kesedaran di seluruh dunia.
Pusat ini kini menempatkan 44 beruang, termasuk Luna, yang dilahirkan di pusat itu pada bulan Mei tahun ini.
Setelah membuka pintu kepada pengunjung sejak 2014, pusat ini mampu menjana pendapatan sendiri melalui penjualan tiket, dan tidak terlalu bergantung kepada pemberian dan sumbangan.
“Penjualan tiket kami meningkat setiap tahun, sehinggalah kami terpaksa menutup pusat ini akibat pandemik,” keluhnya, sambil menambah dia sangat berterima kasih di atas pemberian dan sumbangan terutama dari Yayasan Sime Darby dan Yayasan Khazanah yang membantu memastikan pusat ini tetap bertahan sepanjang waktu mencabar ini.
Pusat ini dibuka sebentar pada pertengahan Jun tahun lalu, tetapi terpaksa ditutup semula pada bulan September berikutan lonjakan kes Covid akibat pilihan raya negeri Sabah.

Berbanding lapan spesies beruang, beruang matahari adalah yang paling kecil, dengan berat sekitar 20 hingga 70 kg, dan banyak ditemui di hutan tropika di Asia Tenggara.
Nama beruang ini berasal dari tompokan berbentuk ladam berwarna oren atau krim di dadanya, yang menurut legenda, menyerupai matahari terbit.
Apa yang menarik, tiada satupun beruang mempunyai tanda yang sama.
Selain berdepan kehilangan habitat akibat penebangan hutan, beruang matahari diburu untuk pundi hempedu, kaki dan hempedu.
Selain itu, kerana saiznya yang kecil, anak beruang disimpan secara haram sebagai haiwan peliharaan. Ibunya sering dibunuh manakala anaknya dikurung dalam sangkar dan diabaikan.
Tidak hairanlah, beruang matahari diberi label “Rentan” oleh Senarai Merah Spesies Terancam IUCN, yang bermaksud ia berdepan kepupusan di alam liar.
“Ia benar-benar perlu disenaraikan sebagai terancam, kerana jumlahnya lebih sedikit daripada orang utan,” jelas Wong.
Menjelang Jun tahun lalu, selama satu setengah tahun BSBCC tidak menerima beruang baru.
“Tidak lama kemudian kami menerima tiga anak beruang yang diselamatkan dalam jangka waktu yang singkat, antara bulan Jun hingga Ogos tahun lalu.
“Ini membimbangkan kerana saya mengesyaki pemburuan haram meningkat kerana ramai kehilangan pekerjaan akibat wabak itu,” katanya kepada FMT, sambil menambah pusat itu akan segera menerima beruang tambahan yang telah diselamatkan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah.
Bagaimanapun, BSBCC merancang untuk melepaskan beruang matahari yang berjaya dipulihkan ke alam liar setelah sekatan Covid dilonggarkan.

Jadi bagaimana kita dapat membantu beruang matahari?
Selain menderma wang, orang ramai dapat membeli pelbagai barangan BSBCC seperti kemeja, topi, beg kanvas, buku dan mainan lembut dari Shopee dan Lazada.
Selain itu, orang ramai juga boleh memilih untuk menjadikan beruang sebagai anak angkat atau membelikan “hadiah” untuk beruang, seperti makanan, mainan dan ubat-ubatan.
“Apabila keadaan semakin pulih, datang dan kunjungi kami!” kata Wong, sambil menambah orang ramai juga boleh menyertai program sukarelawan mereka setelah sempadan Sabah dibuka semula.
Wong berharap orang ramai dapat membantu menyebarkan berita ini dengan mengikuti BSBCC di media sosial mereka.
“Kami juga mempunyai banyak koleksi video yang mendokumentasikan perjalanan beruang matahari di saluran YouTube kami,” kata Wong, yang dilahirkan dan dibesarkan di Pulau Pinang.
Wong menekankan bahawa usaha secara kolektif diperlukan untuk membawa perubahan besar berhubung masalah yang mendesak masa kini, sama ada isu pemuliharaan hidupan liar, perubahan iklim mahupun kelestarian alam sekitar.
“Dewasa ini, sangat mudah untuk mendapatkan maklumat di internet. Kita perlu mendidik diri dan bertindak. Kerana akhirnya, manusia tidak akan dapat bertahan tanpa hutan, hidupan liar dan iklim yang stabil.”
Tempah lawatan maya anda bersama Papa Bear dan beruang matahari Borneo sekarang!
Anda juga boleh mengikuti Pusat Pemuliharaan Beruang Matahari Borneo (BSBCC) di saluran Facebook, Instagram dan YouTube mereka.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]