
Lukisan berwarna gelap memaparkan penari balet yang dibelenggu kawat besi, menari di atas batu serta berdepan penghadang jalan adalah umpama ‘bom jangka’, realiti kehidupan wanita di Gaza yang cuba dikongsi Abeer Jebril.
Pelukis Palestin ini berharap potrait sentuhannya akan mengundang perhatian berhubung masalah sosial dan politik yang perlu dihadapi wanita Gaza, wilayah yang dihuni 2 juta penduduk dan dibelenggu peperangan serta sekatan ekonomi.
Menurut artis itu, karyanya menterjemah perintah sekatan yang dihadapi wanita dalam keluarga dan komuniti di Gaza, wilayah tradisional konservatif yang diperintah Kumpulan Hamas sejak 2007.
Terinspirasi dengan seorang artis Perancis, Edgar Degas, Jebril berkata penari balet adalah gambaran seorang wanita yang cantik, bebas, berkuasa dan lasak.
“Saya memilih penari ballet kerana saya melihatnya sebagai ikon kecantikan dan kuasa. Kerana itu, saya memilihnya untuk menjadi ‘hero’ setiap karya saya,” kata Jebril, 35, ketika ditemui Reuters di kediamannya di Bandar Gaza.
“Ia menunjukkan apa yang dirasai wanita itu, kehidupan, wajah dan bagaimana dia dibelenggu, ia berkongsi apa yang dirasainya di Gaza kepada penonton,” katanya.
“Lelaki dan wanita sama-sama dibelenggu akibat pendudukan itu,” kata Jebril merujuk Israel yang bersama-sama Mesir mengenakan sekatan sempadan ketat ke atas Gaza atas alasan keselamatan.
Jebril berkata, ilham untuk lukisannya tercetus dari gerak tari oleh penari balet antarabangsa dan juga anak perempuannya Maya, 11, yang turut mempelajari ballet.
Portrait sentuhannya yang rata-rata menggunakan pisau, pernah dipamerkan di galeri-galeri sekitar Eropah dan negara Arab.
“Saya merasa putus asa apabila melihat lukisan yang dipamerkan di luar Gaza dan saya tidak dapat untuk berada di situ. Saya berharap sangat untuk berdiri bersamanya,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]