Sentuhan magis kek jeli 3D anak Malaysia cetus tular di Australia

Sentuhan magis kek jeli 3D anak Malaysia cetus tular di Australia

Dilahir dan dibesarkan di Petaling Jaya, Siew Heng Boon, 38, sedang menempa nama di Australia menerusi karya kek 3D yang menawan.

Menetap di Sydney, Australia, Siew Heng Boon adalah pembuat kek jeli warga Malaysia yang mana karyanya telah mendapat perhatian di media sosial. (Gambar Siew Heng Boon)
PETALING JAYA:
Walaupun kebanyakan orang mengesan bakat mereka sejak dari awal lagi, mencungkil bakat terpendam seseorang setelah dewasa juga bukan sesuatu yang mustahil.

Demikian kisahnya dengan Siew Heng Boon, 38, yang berjaya mencipta nama menerusi bakat seni bukan saja di negara ini tetapi juga di tempat tinggalnya di Sydney, Australia.

Namun Siew bukanlah artis tradisional, yang membawa palet atau kanvas bersama. Sebaliknya, karya seni wanita ini adalah berbentuk kek jeli 3 dimensi atau 3D yang sememangnya cantik secantik imej yang dapat kita dibayangkan.

Mungkin anda pernah melihat karyanya melintas di media sosial, di mana rata-rata warganet kagum dengan perincian dan reka bentuknya yang menakjubkan.

Dari bunga yang sedang mekar kepada pemandangan realistik sebuah kolam ikan, kek jeli 3D sentuhannya sangat terperinci sehingga ada yang rasa bersalah untuk menjamahnya.

Teruja untuk berkongsi pengetahuannya dengan orang lain, dia membuka Jelly Alchemy pada tahun 2017 yang menawarkan kelas membuat jeli dalam talian kepada mereka yang berminat.

Menurut Siew, kek jeli bermotif bunga lebih mudah dipelajari pelajar baru, terutama jika dibandingkan dengan reka bentuk yang lebih rumit. (Gambar Siew Heng Boon)

Namun, bagaimana dia mula berjinak-jinak dengan pembuatan jeli? Bercakap kepada FMT, dia berkongsi perjalanannya ke dunia jeli dan cabaran yang dihadapinya sepanjang pengembaraan itu.

“Belajar seni membuat jeli ini saya dapat secara kebetulan. Pada tahun 2016, saya pulang ke Malaysia untuk bercuti, melawat ibu bapa dan ketika itu seorang jiran ada mengikuti kelas membuat jeli 3D,” katanya.

Jirannya berkongsi beberapa sampel kek jeli dengan Siew, yang kagum dengan keenakannya sehingga terdorong untuk mendaftar ke kelas membuat jeli.

“Sebaik kembali ke Sydney, saya memuat naik beberapa gambar kek jeli saya di media sosial dan orang mula bertanya adakah saya menjualnya,” ujarnya lagi.

Walaupun ragu pada awalnya, sokongan ibu dan bapanya meyakinkan Siew untuk mencuba nasib dalam pembuatan kek jeli dan dari situ segalanya bermula.

Hakikat bahawa kek jeli buatannya pantas tular di media sosial ternyata satu kejutan yang menyenangkan, memandangkan dia menganggap dirinya baru saja bermula.

Siew turut menyediakan kelas membuat jeli, walaupun perintah sekatan memaksanya untuk beralih ke dalam talian. (Gambar Siew Heng Boon)

Menurut Siew, dia tidak selalu merancang kek jeli apa yang akan dibuat, dan lazimnya idea reka bentuk itu timbul secara spontan.

Kadangkala dia mendapat inspirasi daripada gambar, yang kemudian diterjemahkan melalui kek jeli sentuhannya; dia juga menerima permintaan khas dari pelanggannya.

“Saya duduk dan berkarya di atas kanvas kosong, seperti lukisan. Saya akan bermula dengan satu bunga dan terus menambah elemen lain sambil meneruskannya,” kata Siew.

Menurutnya, kek jeli bermotif bunga adalah yang paling mudah dibuat, walaupun untuk mereka yang baru bermula, berbanding mereka yang menghasilkan motif haiwan.

“Tidak sukar untuk menceburinya, tetapi untuk mencapai tahap penguasaan, anda perlu banyak latihan dan bakat. Anda mesti banyak berlatih; tidak mungkin semuanya dapat dikuasai dalam masa yang singkat.”

“Anda tidak akan tahu sehingga anda mencuba,” katanya, sambil menambah ada banyak perkara yang dapat dipelajari seseorang mengenai seni itu melalui latihan, percubaan dan kesilapan.

Kek jeli cantik yang direka menyerupai kolam ikan koi hanyalah satu daripada karya Siew yang sangat mengagumkan. (Gambar Siew Heng Boon)

Benar ia adalah proses yang meletihkan, dan walaupun pernah menghasilkan sehingga 16 kek jeli sehari, dia lebih gemar menyiapkan paling banyak tiga kek.

Difahamkan juga bahawa kek jeli 3D masih lagi baru di Australia, dan ia dianggap sebagai pencuci mulut Asia.

Bahagian terbaik dalam pembuatan jeli adalah melihat hasil akhirnya. “Saya masih terkejut apabila saya membalikkan kek itu dan berkata,” Oh, Tuhan! Saya buat kek ini!,” ujarnya.

Perjalanan melalui dunia jeli tidak semuanya indah. Pada akhir 2017, Siew didiagnosis menghidap barah payudara.

Kekal positif dengan keadaannya, Siew bertekad untuk meneruskan kehidupan sambil memerangi barah.

“Ia sesuatu yang dahsyat untuk didengar oleh sesiapapun, tetapi saya gagahi jua. Membuat kek jeli 3D turut membantu saya menjauhkan diri daripada berfikiran negative,” tutur Siew.

Melakukan apa yang disukainya menjadikan dia lebih kuat untuk meneruskan hidup dan empat tahun berlalu, kini Siew bebas dari barah.

Covid-19 juga antara halangan besar baginya, sehingga terpaksa membatalkan beberapa kelas membuat jeli sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Selain itu, dia juga perlu mengawasi anak-anaknya yang bersekolah di rumah akibat penutupan di Sydney.

Namun tidak semuanya buruk, kerana Siew menyedari lebih ramai semakin berminat dengan kelas dalam taliannya serta peningkatan dalam pembelian peralatan membuat jeli.

Jadi ke mana arah Siew selepas ini? “Saya sebenarnya berminat mengajar di peringkat antarabangsa. Di masa depan, peluang untuk mengajar pembuatan jeli 3D di luar negara adalah satu kesempatan yang baik,” katanya.

Ketika masih bersekolah, Siew tidak pasti apa yang ingin dilakukan demi masa depannya, dan alangkah baiknya jika dia dilatih secara profesional dalam seni kuliner ketika itu.

Pun begitu, masih belum terlambat untuknya mendorong individu lain yang mungkin berada di persimpangan dalam meneruskan impian mereka sama sepertinya. Seperti kata Siew, “Ikutlah arah yang anda minati.”

Saksikan sendiri karya Siew yang mengasyikkan dengan melayari laman web atau mengikutnya di Facebook atau Instagram.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.