Ikan lumba-lumba merah jambu muncul di Vietnam

Ikan lumba-lumba merah jambu muncul di Vietnam

Ikan lumba-lumba merah jambu yang jarang ditemui pernah muncul di Do Son, namun tidak pernah direkodkan secara rasmi.

Seekor ikan lumba-lumba merah jambu dilihat berenang di pantai Do Son, utara Hai Phong, Vietnam.

Kelibat species ikan lumba-lumba merah jambu jarang ditemui yang dirakam seorang pengunjung di pantai Do Son di bandar Hai Phong, Vietnam tular di media sosial.

Klip video berdurasi kira-kira seminit yang dikongsi Sabtu lalu itu menunjukkan seekor ikan lumba-lumba merah jambu sedang berenang dan sesekali melompat berhampiran pantai. Namun, sebaik melihat manusia dan bot menghampiri ia mula menjauhkan diri.

Tidak seperti spesies ikan lumba-lumba biasa yang berwarna kehitaman di perairan Vietnam, video tersebut menunjukkan species berwarna merah jambu yang mengejutkan dan membuat orang ramai teruja.

Ramai warganet yang bukan saja memberi komen kerana teruja dengan penemuan itu mereka juga melihatnya sebagai satu petanda positif bahawa sistem ekologi semakin pulih.

Ikan lumba-lumba merah jambu pernah muncul di Do Son, namun tidak pernah direkodkan secara rasmi.

Menurut nelayan tempatan, kemunculan ikan lumba-lumba merah jambu adalah satu petanda baik. Ia menunjukkan hasil untuk musim menangkap udang dan ikan tahun ini adalah baik.

Jabatan Pelancongan Daerah Do Son berkata pihaknya menghubungi warga yang merakam dan menyiarkan video tersebut untuk mengumpulkan dan mengesahkan maklumat.

VnExpress mendapati video yang sama juga pernah muncul dalam talian tahun lalu.

Difahamkan spesies yang dilihat itu adalah ikan lumba-lumba kelasa (humpback) Indo-Pasifik.

Spesies ini mendiami pesisir perairan di timur India dan barat Lautan Pasifik. Ikan lumba-lumba kelasa Indo-Pasifik dewasa adalah berwarna kelabu, putih atau merah jambu.

Difahamkan populasi ikan lumba-lumba di sepanjang pantai China mempunyai kulit merah jambu.

Ikan lumba-lumba diklasifikasikan sebagai “rentan” oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar.

Ia diancam oleh pencemaran, pelanggaran kapal, penangkapan ikan berlebihan, dan pencemaran bunyi di bawah air.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.