
Tahukah anda, ada beberapa spesies burung kecil yang berani mengambil risiko mengumpul gumpalan rambut dan bulu untuk membuat sarang mereka.
Tabiat nakal ini dimiliki Titmice, sejenis burung yang pernah dilihat bukan saja berani mengganggu kucing, malah mencuri bulu haiwan pemangsa yang sedang tidur termasuk rambut manusia.
Kini ada istilah khusus untuk tingkah lakunya yang luar biasa itu iaitu kleptotrichy.
Berasal dari perkataan Greek ‘untuk mencuri’ dan ‘rambut’, burung kleptotrichy jarang mendapat perhatian saintis, namun berpuluh video di YouTube berjaya merakam perlakuan itu, menurut laporan pengkaji dalam Ecology 27 Julai lalu.
Titmice dan seekor burung Chickadee pernah dirakam mencabut bukan saja bulu anjing malah kucing, manusia, rakun serta landak.
“Saintis tempatan, pemerhati burung dan pemilik anjing lebih mengetahui kelakuan ini berbanding saintis,” kata pakar kelakuan haiwan, Mark Hauber dari Universiti of Illinois di Urbana-Champaign.
Menyaksikan sendiri seekor burung mencuri bulu mamalia di alam liar telah mendorong rakan sekerja Hauber, ahli ekologi Henry Pollock, untuk mendalaminya.
Ketika mengira burung di taman negara Illinois pada Mei 2020, Pollock dan rakan-rakannya melihat seekor Titmice sedang mencabut bulu seekor rakun yang sedang tidur.
“Saya seperti, ‘Wow, saya tidak pernah melihat perkara seperti itu,” kata Pollock, juga dari universiti yang sama.
Ketika meneliti naskah saintifik, Hauber, Pollock dan rakannya hanya menemui 11 anekdot burung yang mencuri rambut dari mamalia hidup.
Walaupun kebanyakan yang diterbit melibatkan Titmice di Amerika Utara, sekurang-kurangnya lima spesies burung lain mempunyai kelakuan yang sama.
Penyelidik pernah melihat seekor gagak Amerika mencabut bulu seekor lembu dan seekor burung perling bersayap merah di Afrika mematuk seekor antelop kecil yang dipanggil klipspringer. Di Australia pula, tiga spesies burung madu mencuri bulu dari koala.
Secara umumnya saintis menganggap burung mengumpulkan bulu atau rambut untuk sarangnya dengan cara yang berisiko rendah, bergantung pada bangkai atau bulu yang lerai serta terbang dibawa angin.
“Mencabut bulu rakun, yang merupakan pemangsa sarang burung, menunjukkan bahawa adalah sangat berbaloi untuk mendapatkan bulu itu,” kata Pollock.
Spesies yang mengumpul rambut cenderung hidup di iklim yang lebih sejuk, jadi burung itu mungkin menghargai sifat penebat pada rambut tersebut, kata pasukan terbabit.
Sesetengah burung juga mungkin membentuk sarangnya menggunakan rambut mamalia untuk mengelirukan pemangsa dan parasit.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]