
Guru tarian, Vivian Chan merasa cukup bangga berpeluang mengambil bahagian dalam projek amal pelajarnya yang dijadualkan berlangsung pada Hari Kemerdekaan yang akan datang.
Dianjurkan oleh Liew Xiao Rou, 15, pengasas Dance Pulse Studio itu akan mengajar dua kelas tarian selama sejam berkaitan tarian lyrical (kombinasi ballet dan jazz) dan kontemporari sebagai sebahagian daripada projek “Dance for Food” remaja itu.
Masing-masing dijadualkan pada jam 12 tengahari dan 2 petang, kedua-dua sesi itu akan dilakukan secara Zoom, dan terbuka kepada semua lapisan dan peringkat usia.
Tiket berharga RM20 dikenakan kepada setiap peserta, di mana semua hasil akan diserahkan kepada Bank Makanan Malaysia, sebuah organisasi anti-kelaparan terkemuka di wilayah ini yang menyumbang makanan dan produk runcit kepada mereka yang memerlukan.

“Saya menyedari ramai orang sedang bergelut akibat wabak ini, dan saya ingin melakukan sesuatu untuk membantu,” kata Liew, juara tarian lyrical kebangsaan sebanyak dua kali.
“Sambutannya sangat baik. Seorang penderma telah menaja 30 tiket, yang akan ditawarkan kepada kanak-kanak di sebuah sekolah pelarian di mana saya adalah salah seorang sukarelawannya,” kata pelajar The International School @ Park City itu kepada FMT.
“Saya sangat bangga dengan inisiatif Xiao Rou, dan saya sangat teruja untuk menyumbang,” ujar Chan, yang merupakan 20 peserta terbaik dalam pertandingan So You Think You Can Dance (Malaysia, musim 2).

Permulaan
“Ibu saya sendiri ingin menjadi seorang penari, tetapi nenek saya enggan membenarkannya mengambil kelas,” kata Chan kepada FMT.
“Ketika saya berusia enam tahun, ibu mendaftarkan saya ke kelas ballet,” kenangnya, sambil menambah dia tetap bertahan selama enam tahun walaupun tidak menyukai genre itu. “Saya tidak suka memakai tutus dan kasut pointe!”
Bagaimanapun, semuanya berubah selepas dia mempelajari tarian jazz ketika berusia 12 tahun.
“Saya jatuh cinta dengan gerakannya yang moden, funky dan bertenaga.
“Kini saya lebih menghargai permulaan saya dengan ballet kerana ia adalah asas tarian. Teknik yang baik membolehkan anda menguasai gaya tarian dengan mudah,” tambah penari berusia 39 tahun itu,”

Penglibatan Liew dalam tarian bermula lebih awal lagi.
“Saya mula mempelajari ballet ketika berusia tiga atau empat tahun dan terus beralih kepada jazz, sebelum mempelajari tarian kontemporari dan lyrical di bawah Vivian,” katanya.
“Saya menyukai semua gaya, tetapi saya sangat menyukai tarian lyrical kerana ia terasa lebih semula jadi.”
“Menari menenangkan fikiran saya,” katanya, sambil menjelaskan ia membantu menghilangkan rasa berserabut akibat bebanan kerja sekolah.
Gaya tarian
Vivian, bekas gimnas berirama elit kebangsaan, mengajar beberapa gaya tarian yang berbeza, termasuk kontemporari, lyrical, acro dan jazz.
“Tarian lyrical adalah berdasarkan ballet dan teknikal tetapi masih mudah,” jelasnya.
“Tarian kontemporari pula, lebih abstrak dan ekspresif, selain menggabungkan unsur-unsur ballet, yoga, tai chi, jazz dan acro.”
“Sebenarnya, tarian kontemporari berevolusi sebagai protes terhadap bentuk tarian balet tradisional dan berstruktur,” katanya.

Tarian untuk semua
“Akan selalu ada individu yang mengatakan bahawa mereka adalah penari yang teruk atau mempunyai dua kaki kiri, tetapi saya sangat yakin semua orang boleh menari. Semuanya perlukan latihan dan ingatan otot.
“Seorang pelajar lama saya sekarang berusia 55 tahun, tetapi masih mengambil bahagian setiap hujung minggu dan kehadirannya itu cukup berbaloi kepada anak-anak muda. Bak kata pepatah, usia hanyalah angka,” kata Chan bersemangat.
Waktu yang mencabar
Keadaan agak mencabar memandangkan studio tarian Chan terpaksa ditutup sejak wabak ini mula menular.
“Saya telah mula memberikan kelas dalam talian sejak perintah sekatan pertama tahun lalu,” katanya kepada FMT, sambil menambah kini dia mengajar 16 hingga 20 kelas seminggu.
“Pembelajaran dalam talian ada batasannya,” katanya kesal, di mana halangan terbesar adalah kekangan ruang.
Menurutnya, kebanyakan pelajar tidak mempunyai ruang yang sesuai di rumah untuk menari.
“Ada pelajar yang terpaksa menari di beranda rumah, atau di antara tempat tidur dan almari pakaian mereka, sementara yang lain terpaksa menari di ruang tamu, dengan berlatar belakangkan ahli keluarga yang dilihat sedang menonton televisyen!” tegasnya kesal.
Namun, dia menyeru kepada peminat tarian untuk terus bertahan. “Saya yakin kita akan kembali ke studio suatu hari nanti,” katanya.
Begitulah harapan Liew.
Untuk maklumat lanjut, saksikan projek Dance for Food di Instagram. Anda juga boleh mengikuti The Dance Pulse Studio di Facebook dan Instagram.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]