
Kali terakhir Elsa dan India menjadi tajuk berita utama di akhbar dan media sosial, ia menggemparkan kejiranan sekitar Texas apabila keduanya dilihat merayau-rayau – India di Houston dan Elsa di San Antonio.
Menurut Humane Society of the United States (HSUS), awal tahun ini kedua-dua harimau peliharaan itu terlepas dari jagaan pemilik masing-masing, yang didapati menyimpan haiwan pemangsa eksotik yang diancam kepupusan.
Selepas pihak berkuasa berjaya menangkap haiwan tersebut dengan selamat, ia dibawa ke pusat perlindungan haiwan Cleveland Amory Black Beauty Ranch di Murchison, Texas.
Organisasi perlindungan haiwan itu memiliki santuari seluas 1,400 ekar yang didiami beruang, harimau dan haiwan lain yang berjaya diselamatkan dari perdagangan haiwan eksotik dan penderaan manusia.
Di Black Beauty Ranch, haiwan yang sekian lama hidup dalam kurungan kini bebas melata dan bercanda di habitat yang lebih besar.
Elsa dan India kini cukup serasi dengan kehidupan mereka di santuari baharu itu. Kedua-duanya dapat menikmati kehijauan rumput, pokok-pokok, semak dan pelbagai keistimewaan lain.
Namun penampilan yang paling digemari di Black Beauty Ranch semestinya, kolam-kolam yang disediakan.
“Untuk melindungi 800 penghuni di Black Beauty Ranch dari terik mentari di Texas, kami menyediakan pelbagai pilihan untuk mereka menyejukkan badan termasuk kolam besar, tub air, tempat berteduh dan pokok besar untuk berehat,” kata Pengarah Kanan Black Beauty, Noelle Almrud dalam satu kenyataan.
“Adalah sesuatu yang sangat istimewa dapat melihat India dan Elsa menjalani kehidupan di sini kerana ia adalah musim panas pertama mereka.
Sebagai dua harimau remaja, mereka kelihatan seronok bermain air dan menjelajahi habitat besar mereka ,” tambahnya mengenai kemajuan harimau itu sejak tiba di santuari tersebut.
“Elsa menghabiskan banyak masa bermain air di tab. India pula terpesona dengan pancutan air di kolamnya.
Haiwan yang sebelum ini pernah menderita di tangan manusia kini selamat dan tidak lagi bimbang.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]