Keluarga bintang terjun China tolak hadiah rumah dan wang tunai RM127,200

Keluarga bintang terjun China tolak hadiah rumah dan wang tunai RM127,200

Orang ramai mula membanjiri kediaman Quan di Maihe, Guangdong selepas mengetahui latar belakang keluarganya yang cukup sederhana.

Kediaman Quan Hongchan bertukar menjadi tumpuan pelancong selepas menguasai acara terjunan di Olimpik Tokyo.

Jika pemenang pingat emas merejam lembing India, Neeraj Chopra pulang ke tanah air bermandikan pelbagai kurnia dan wang jutaan ringgit, lain pula cerita dengan keluarga bintang terjun China, Quan Hongchan yang menolak segala bentuk pemberian dari orang ramai.

Quan, atlet China paling berjaya di Olimpik Tokyo selepas menguasai acara terjunan dan membawa pulang pingat emas, bukan saja cemerlang di Olimpik, malah remaja berusia 14 tahun itu cukup popular di Tokyo kerana sifatnya yang karismatik dan disukai ramai kerana mudah tersenyum.

Kini, sebaik latar belakang keluarganya yang cukup sederhana diketahui ramai, pelbagai hadiah dihantar, selain tawaran lumayan sehingga mengubah kampung kecil di Maihe, Guangdong yang cukup aman menjadi tumpuan pelancong.

Difahamkan ibu atlet tersebut sakit akibat kemalangan yang dialaminya pada 2017 dan mereka bergantung hidup dengan sumber pendapatan dari kebun oren milik bapanya.

Quan Wenmao, bapa remaja tersebut berkata, Ahad lalu dia ditawarkan sebuah rumah flat, hartanah komersial dan wang tunai AS$30,000 (RM127,200). Katanya dia menolak semua pemberian itu, lapor Southern Metropolis Daily.

“Saya berterima kasih di atas kunjungan mereka. Tapi saya tidak menerima semua tawaran itu. Satu sen pun saya tidak ambil,” dia dipetik sebagai berkata, tiga hari selepas anaknya memenangi pingat emas di Olimpik.

Dia turut meminta orang ramai yang berhimpun di rumahnya untuk duduk di rumah.

“Mereka boleh saja menyampaikan salam mereka. Tidak perlu datang ke sini. Ia mengganggu kehidupan mereka dan kami juga, tidak begitu?” katanya.

Sejak minggu lalu, kediaman Quan dibanjiri pelbagai pemberian yang dihantar peminatnya, termasuk sejenis snek yang dikenali sebagai latiao, yang cukup digemari Quan.

Semua hadiah tersebut disimpan ahli jawatankuasa kampung dan sebahagiannya diagih-agihkan kepada kanak-kanak di kampung itu.

Quan mula mempelajari sukan terjun di Sekolah Sukan Zhanjiang di Guangdong ketika berusia tujuh tahun dan melakukan 400 terjunan setiap hari.

Dia menyertai pasukan kebangsaan China kurang setahun lalu dan Olimpik Tokyo adalah penampilan sulungnya di pentas antarabangsa.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.