
Boneka fesyen terkemuka Amerika Syarikat, Barbie dikecam hebat di media sosial kerana tidak menampilkan Barbie Asia dalam koleksi terbaharu bagi mengenang Olimpik Tokyo 2020.
Difahamkan, syarikat pengeluar Barbie, Mattel berkolaborasi dengan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan penganjur Tokyo 2020 untuk melancarkan koleksi patung berbaharu pada Februari 2020 yang direka khusus bersempena temasya sukan berprestij itu.
Koleksi itu termasuk lima patung yang mewakili lima sukan terbaharu dalam sukan olimpik tahun ini iaitu bola lisut, sukan memanjat, karate, papan luncur dan luncur air.
Dalam pada cuba untuk mempromosikan inklusiviti dan inovasi, ramai menyedari ketiadaan Barbie Asia ketika Mattel mempromosikan semula koleksi itu bulan lalu.
Platform Twitter dan Instagram, sesak dengan komen dan maklum balas warganet yang rata-rata kecewa dengan tindakan Mattel mengecualikan boneka Asia, tidak kira disengajakan mahupun tidak.
“Saya tak akan beli patung Barbie untuk dua anak perempuan saya. Langsung tiada perwakilan,” kata Pesuruhjaya Macomb County, Michigan, Mai Xiong di twitter.
Sejumlah pengguna turut mempersoalkan bagaimana Mattel boleh mendakwa terlupa untuk memasukkan Barbie Asia sedangkan Sukan itu berlangsung di Tokyo, sebuah bandar yang terkenal di Asia.
Begitu juga beberapa penduduk Kepulauan Asia Pasifik Amerika (AAPI) yang menjadi tajuk utama akhbar setelah memenangi pingat untuk Pasukan USA, termasuk Sunisa Lee, warga Hmong-Amerika pertama yang bersaing untuk AS, dan melakar sejarah sebagai orang Asia pertama memenangi emas dalam gimnastik individu.
Patung Barbie yang menampilkan kepelbagaian ternyata cukup popular. Beberapa minggu sebelum upacara pembukaan Sukan Olimpik Tokyo, Barbie melancarkan model pemain tenis Jepun, Naomi Osaka sebagai sebahagian daripada siri ‘Role Model’.
Patung tersebut habis dijual hanya beberapa jam selepas dilancarkan. Sementara itu, CNN masih menanti maklum balas Mattel berhubung dakwaan tersebut.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]