Perjalanan seniman intuitif telusuri kehidupan

Perjalanan seniman intuitif telusuri kehidupan

Bekas penulis iklan ini meninggalkan dunia korporat untuk menjadi seniman dan mentor sepenuh masa.

Shia Lynn adalah artis intuitif yang menggunakan media campuran. (Gambar Shia Lynn)

Shia Lynn penuh percaya bahawa kita tidak perlu menjadi seorang seniman untuk menghasilkan seni.

Artis intuitif yang mempelajari ilmu seni secara sendiri ini telah terlibat secara aktif dalam industri seni tempatan selama kira-kira 15 tahun.

Dia juga merupakan pencetus di sebalik The Artsy Crafty – sebuah laman web yang berfungsi sebagai pusat sumber untuk apa sahaja yang berkaitan dengan seni dan kraf.

“Saya tidak mengatakan yang saya mempunyai bakat semulajadi, tetapi saya punya minat yang mendalam terhadap seni. Saya sentiasa mencipta sesuatu,” ujarnya yang sewaktu kecil sering mengikut ibunya ke mana saja, berbekalkan buku lakaran.

Bagaimanapun, Shia Lynn akhirnya mengambil jurusan pengiklanan di kolej.

“Saya tawar hati untuk mengejar impian dalam bidang seni walaupun sangat meminatinya, kerana keluarga bimbang saya tidak akan mendapat pekerjaan,” katanya.

Walaupun begitu, dia berjaya memulakan kerjaya sampingan dalam lukisan fabrik ketika masih di kolej.

Shia Lynn telah berkecimpung dalam bidang seni dan kraf selama hampir 15 tahun. (Gambar Shia Lynn)

Setelah tamat pengajian, dia pernah berkhidmat dengan beberapa bidang pekerjaan yang berkaitan seni, dari peruncitan hingga mengajar, sebelum akhirnya menjadi penulis iklan di The One Academy, di mana dia bekerja selama enam tahun.

“Pada masa itu saya banyak kali cuba menyelami jiwa – kerana perkara yang saya lakukan dalam hidup tidak begitu masuk akal bagi saya,” jelas Shia Lynn.

Ketika memulakan laman web The Artsy Craftsy pada tahun 2008 sewaktu masih bekerja di The One Academy, dia merasa lebih sealiran dengan impiannya itu.

“Saya menggunakan sepenuhnya sumber di tempat kerja dan melakukan apa sahaja untuk mendalaminya, apa sahaja yang dapat membantu saya masuk ke dalam industri kreatif,” ujarnya.

Pada tahun 2015, dia memutuskan untuk meninggalkan dunia korporat bagi memberi tumpuan kepada The Artsy Craftsy setelah menyedari dia telah mempelajari semua yang perlu di tempat kerjanya.

“Saya memutuskan untuk mencuba walaupun saya tidak tahu sama ada ia akan berjaya atau tidak,” tambah Shia Lynn lagi.

The Artsy Craftsy adalah hab untuk segala hal yang berkaitan dengan seni dan kraf. (Gambar Shia Lynn)

Selain mengendalikan blog dan menghasilkan seninya sendiri, Shia Lynn menganjurkan semua jenis bengkel, dari lukisan fabrik hingga kepada lukisan intuitif dengan meditasi berpandu.

Dia turut menawarkan sesi rundingan dan bimbingan dengan membantu individu lain memanfaatkan potensi kreatif dan membebaskan nilai seni dalaman mereka.

Shia Lynn pernah didiagnosis dengan kebimbangan melampau (anxiety disorder), dan seni memainkan peranan yang besar dalam proses penyembuhannya.

“Saya mahu orang menjadi kreatif, menghasilkan seni, dan merasa senang dengan diri mereka sendiri,” katanya, sambil menambah bahawa seseorang itu mampu mencapai pertumbuhan peribadi dengan meneroka diri mereka melalui seni.

Dia juga percaya bahawa kreativiti ada kaitannya dengan aspek kerohanian seseorang.

“Sesekali saya akan bertafakur. Saya mendapat wawasan dan berusaha menterjemahkannya ke dalam seni saya,” sambil menambah satu-satunya sebab mengapa ramai mendapati ia sukar kerana mereka tidak tahu jenis meditasi yang sesuai untuk mereka.

Shia Lynn menganjurkan pelbagai bengkel seni dan kraf. (Gambar Shia Lynn)

“Sebagai seorang seniman, media campuran adalah media saya. Saya melukis banyak seni intuitif dan berwawasan, yang merupakan gambaran pemikiran, emosi dan kesedaran saya.

“Saya ikut apa yang saya rasa dan ketahui, dan semuanya berdasarkan kepada minat terhadap kerohanian, psikologi dan keajaiban realisme,” kata Shia Lynn, yang cukup terinspirasi dengan Frieda Kahlo dan Van Gough.

Dia juga tidak percaya pada sekatan kreatif.

“Ia adalah pilihan sama ada anda ingin melakukan sesuatu atau tidak. Saya juga ada masa-masa buruk saya, tetapi saya tahu ia tidak akan kekal selamanya,” sambil menambah dia akan mengatur dan mengemas rumahnya setiap kali ilham untuk lukisannya tersekat.

Di samping itu, dia merasakan bahawa bangun pada jam 5 pagi setiap hari ketika seluruh dunia masih tidur membantunya untuk menjadi lebih produktif.

“Anda selesaikan apa sahaja yang perlu anda lakukan, dan kemudian mulakan hari anda,” katanya.

Shia Lynn penuh percaya bahawa kita tidak perlu menjadi seniman untuk menghasilkan seni. (Gambar Shia Lynn)

“Wabak ini memberi kesan buruk kepada saya dan rakan kreatif lain, terutama pemilik studio.

“Saya tidak terus teruja untuk mengajar secara dalam talian, kerana sebagai pengajar, saya ingin memberi mereka pengalaman peribadi, kerana manusia mempunyai gaya pembelajaran yang berbeza,” ujarnya lagi.

Sejak itu Shia Lynn membawa tiga ahli kraf lain untuk membantu mengembangkan The Artsy Craftsy.

“Kami ingin menunjukkan sokongan yang lebih kuat kepada masyarakat seni,” katanya yang menambah dia ingin lebih fokus pada latihan.

Wanita ini terpaksa melakukan pelbagai jenis pekerjaan untuk mengetahui apa yang ingin dilakukan. Namun, baginya, dia tahu ada sebab mengapa semua itu berlaku.

“Saya mungkin tidak akan memperoleh begitu banyak pengalaman di lapangan. Semua ini membantu saya menjalankan platform The Artsy Craftsy dengan apa cara sekalipun.

“Hidup ibarat roda. Saya pernah menyalahkan keluarga saya, tetapi kini tidak lagi,” jelasnya.

Shia Lynn juga memiliki sijil dalam bidang lukisan fabrik dan latihan seni terapeutik kehidupan. (Gambar Shia Lynn)

Nasihat Shia Lynn, bagi yang ingin mengejar minat kreatif mereka, tetapi agak ragu-ragu dan tidak tahu untuk bermula dari mana.

“Jangan terlalu memikirkannya, teruskan dan lakukannya. Mulakan langkah pertama dan lihat apa yang berlaku seterusnya, kerana perkara-perkara di sekitar kita tidak begitu penting, minat anda lebih utama,” akhiri Shia Lynn.

Anda boleh mengikutinya di laman web Shia Lynn dan di laman web dan akaun Instagram The ArtsyCraftsy.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.