Atlet Olimpik Argentina tewas di gelanggang, ‘menang’ dilamar kekasih

Atlet Olimpik Argentina tewas di gelanggang, ‘menang’ dilamar kekasih

Kekasih yang juga jurulatih Perez Maurice, Saucedo melamarnya dengan menulis nota besar “Sudikah kau mengahwini aku”.

Maria Belen Perez Maurice memeluk jurulatih, Lucas Guillermo Saucedo, selepas dilamar kekasihnya itu sebaik tamat perlawanan pedang Olimpik di Chiba, Jepun.

Atlet lawan pedang Argentina, Maria Belen Perez Maurice mungkin gagal meraih sebarang pingat di Olimpik Tokyo Isnin lalu, namun dia ‘menang’ dalam menikmati kehidupan yang lebih bermakna.

Ahli sukan berusia 36 tahun itu bakal pulang dengan sebentuk cincin di jari selepas dikejutkan dengan lamaran dari jurulatih yang juga kekasihnya sejak 17 tahun lalu.

Difahamkan, insiden manis itu berlaku ketika Perez Maurice sedang ditemubual selepas tamat perlawanan individu saber, yang menyaksikan dia tewas 15-20 di tangan atlet Hungary, Anna Marton.

Tanpa disedari Lucas Guillermo Saucedo menunjukkan satu nota dengan tulisan tangan yang besar dalam bahasa Sepanyol yang bermaksud “Sudikah kau mengahwini aku”.

“Mereka (media) menyuruh saya pusing ke belakang, dan dia (Lucas) sedang memegang nota itu. Saya terus lupa segalanya,” kata Perez Maurice kepada wartawan.

“Kami sangat bahagia dan dia adalah pasangan yang baik. Lumrah berkasih memang ada pasang surutya. Apa yang penting kami saling mencintai dan mahu hidup bersama.”

Pemenang pingat emas Kejuaraan Pan American 2014 dan pernah menyertai Olimpik London (2012) dan Rio (2016) itu berkata mereka akan meraikan pertunangan itu di Buenos Aires dengan parti barbeku yang meriah.

Saucedo mengakui pernah melamar kekasihnya sebelum ini selepas Kejuaraan Lawan Pedang Sedunia 2010, di Paris namun lamaran itu ditolak atas alasan masih terlalu muda.

Kata Saucedo, dia amat mencintai kekasihnya dan selepas tewas kepada Marton, Perez cukup terkesan dan sedih.

“Mungkin dengan lamaran ini ia dapat mengubah mentalitinya. Saya terus menulis nota itu tanpa berfikir panjang dan jika dia menang, saya mungkin akan menantikan saat lain yang lebih sesuai,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.