
Istana pasir tertinggi di dunia yang mencecah lebih 20 meter dan seberat hampir 5,000 tan siap dibina di sebuah bandar tepi pantai di Blokhus, Denmark.
Memiliki ketinggian 21.16 meter, istana terbaharu itu mengatasi istana dibina di Jerman pada 2019 yang memegang Rekod Guinness Dunia pada ketinggian 17.66 meter.
Difahamkan sejumlah 4,860 tan pasir digunakan bagi membina struktur berupa piramid tersebut.
Mendapat sentuhan pereka Belanda, Wilfred Stijger yang dibantu 30 pengukir pasir terkemuka dunia, karya itu ingin menampilkan kuasa coronavirus ke atas dunia sejak pandemik mula menular.
Hasilnya, di puncak binaan istana pasir tersebut turut dipaparkan model virus yang memakai mahkota.
“Di mana-mana saja, ia mengawal kehidupan kita,” kata Stijger.
“Ia memberitahu anda apa yang perlu dilakukan…ia mengarahkan anda untuk menjauhkan diri dari keluarga dan tidak pergi ke mana-mana. Jangan buat sebarang aktiviti, duduk di rumah,” katanya.
Bagi mengukuhkan strukturnya, lapisan pasir turut dicampur kira-kira 10% tanah liat dan gam yang disapu di permukaan istana berkenaan.
Ciri-ciri tempatan termasuk luncur angin, rumah pantai, ikan dan rumah api ditampilkan dalam pembinaan istana pasir berkenaan.
Istana pasir itu dijangka dapat bertahan sehingga Februari atau Mac tahun depan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]