Miniatur Hong Kong imbau kenangan silam

Miniatur Hong Kong imbau kenangan silam

Tony Lai dan Maggie Chan ingin menghidupkan kembali seni bina lama Hong Kong dan memori silam dengan menghasilkan sebuah miniatur bandar itu.

Miniatur ini dihasilkan dengan begitu teliti bagi menonjolkan suasana di Hong Kong satu ketika dulu.

Susunan miniatur beberapa bangunan lama dalam sebuah metropolis yang dilakukan secara teliti oleh dua artis berbakat ini sudah cukup untuk membawa sesiapa saja kembali ke zaman silam di Hong Kong.

Keadaan studio dua artis itu, Tony Lai dan Maggie Chan boleh diibaratkan seperti melangkah ke dalam mesin masa apabila mereka cuba menghidupkan kembali keunikan seni bina bandar itu satu ketika dulu.

Menerusi miniatur yang dihasilkan, ia turut lengkap dengan roda ferris serta penghasilan semula festival naga api di situ.

Mereka juga begitu teliti menyelitkan suasana di kedai makan dan restoran yang dulunya pernah menjadi nadi utama di Hong Kong.

Dua artis itu berkongsi minat yang sama untuk menghidupkan kembali keseronokan zaman kanak-kanak selain memberi peluang kepada orang ramai mengimbau kenangan mereka.

“Apabila warga emas melihat ciptaan kami, ia terus membawa mereka mengingati kembali memori lama.

“Kami juga sering melihat air mata mereka bergenang setiap kali melihat replika ini,” kata Lai yang menghasilkan semula replika Taman Tema Kai Tak selepas dirobohkan pada 1982.

Usaha memulihara tinggalan sejarah di Hong Kong bukan satu perkara mudah apabila terpaksa berdepan dengan kerakusan bilionair dan pemaju yang ingin memajukan kawasan itu dengan pelbagai projek bertingkat.

Terdapat banyak bangunan kolonial sudah dirobohkan biarpun sejak kebelakangan ini kerajaan mula sedar dan berusaha memainkan peranan dalam memulihara tinggalan bersejarah itu.

Lai yang dilahirkan dan dibesarkan di Hong Kong masih teringat ketika bapa membawanya menaiki bot ke Pulau Lamma yang menjadi tempat tinggal komuniti nelayan.

Salah satu ciptaan yang dianggap rumit bagi dua artis ini ialah diorama penduduk melakukan aktiviti harian mereka di sebuah perkampungan.

Chan mempunyai daya memori yang kuat lalu diterjemahkan ke dalam hasil lebih terperinci.

“Lai lebih memfokuskan struktur yang lebih besar manakala saya pula menumpukan kepada elemen lebih terperinci.

“Walaupun seseorang hanya melihat poster atau semangkuk mi daging, ia mampu mengingatkan mereka kepada kenangan lama dan menyentuh emosi,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.