Pekebun upah pengawal keselamatan jaga mangga paling berharga

Pekebun upah pengawal keselamatan jaga mangga paling berharga

Salkalp Singh terpaksa meningkatkan tahap keselamatan di kebunnya selepas menyedari pokok mangga yang ditanam mempunyai buah paling mahal di dunia.

Pengawal keselamatan terpaksa diupah bagi mengelakkan mangga Miyazaki Salkalp Singh dicuri. (Gambar Twitter)

Seorang lelaki di India tidak pernah menyangka bahawa dia terpaksa mengupah tiga pengawal keselamatan untuk menjaga pokok mangganya selepas mendapat tahu ia adalah sejenis tanaman istimewa.

Salkalp Singh Parihar yang berasal dari Madhya Pradesh itu baru menyedari yang dia sebenarnya menanam pokok mangga Jepun, Miyazaki iaitu jenis paling mahal di dunia.

Dia dikatakan membeli anak pokok mangga itu kira-kira empat tahun lalu daripada seorang pelancong yang ditemui ketika menaiki kereta api pada harga AS$33 (RM137).

“Ketika itu saya tidak tahu mangga jenis apa dan hanya menamakannya sebagai Damini sempena nama ibu. Saya menanamnya seperti pokok mangga biasa.

“Bagaimanapun, selepas beberapa bulan, saya melihat buahnya mempunyai warna merah yang sangat cantik,” katanya.

Sejak itu, tanamannya terus menjadi bualan orang ramai terutama di kalangan usahawan di seluruh negara itu.

Dia kemudiannya terkejut apabila mendapat tahu ia adalah sejenis mangga mewah yang dijual sekitar AS$50 (RM207) sebiji.

Salkalp juga menerima tawaran lumayan mencecah AS$283 (RM1,176) daripada pembeli yang teringin untuk merasai keenakan mangga istimewa terbabit.

Times of India melaporkan, dia sehingga kini sudah menanam 150 pokok mangga Miyazaki di kebunnya namun hanya empat saja yang kelihatan berbuah.

“Pokok ini dijaga seperti ‘bayi’ sendiri dan saya ingin memberi fokus menjaganya dengan baik selain menggunakan benihnya untuk tanaman baru.

“Tahun lalu, berlaku insiden kecurian dan saya ingin meningkatkan tahap keselamatan di sini. Sebelum ini, kami menempatkan sembilan anjing dan kini terpaksa mengambil tiga pengawal keselamatan untuk menjaga tanaman,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.