OKU main hap guna mata

OKU main hap guna mata

Alexandra Kerlidou yang mengalami cerebral palsy kini mampu bermain alat muzik menggunakan perisian khas dibangunkan saintis komputer dan pemuzik, Vamvakousis.

Alexandra Kerlidou menggunakan perisian khas untuk bermain alat muzik hap. (Gambar Reuters)

Tanpa keupayaan seperti orang normal, Alexandra Kerlidou masih mampu mengalunkan alunan merdu hap dari sebuah pentas di Athens.

Sambil duduk di atas kerusi rodanya, pelajar berusia 21 tahun yang mengalami cerebral palsy itu hanya menggunakan pergerakan mata ke arah skrin komputer untuk mengawal bunyi muzik berkenaan.

Semuanya dilakukan dengan menerusi perisian digital dikawal oleh pergerakan mata yang membantu Orang Kurang Upaya (OKU) bermain alat muzik.

“Saya berasa pelik dan tidak pernah membayangkan perkara seperti ini,” kata Kerlidou.

Perisian itu dicipta seorang saintis komputer dan pemuzik, Vamvakousis yang mengambil inspirasi daripada sebuah program selepas rakan pemuziknya tercedera teruk dalam satu kemalangan motosikal.

“Pada mulanya, saya tidak tahu sama ada dia boleh menggerakkan tangan dan kembali bermain muzik.

“Ia agak mengejutkan kepada saya sebelum menyedari terdapat keperluan untuk teknologi seperti ini,” katanya.

Teknologi penjejakan mata secara digital itu digunakan secara meluas dalam permainan video, keselamatan dan perubatan apabila arahan boleh diberi dengan hanya menggunakan gerak mata.

Menerusi perisian itu, mata akan tertumpu pada setiap nada muzik dan secara puratanya ia boleh memainkan tiga hingga empat nada sesaat.

“Tanpa bantuan digital, tidak mungkin muzik boleh dimainkan dalam waktu sebenar,” katanya.

Vamvakousis berkata, program itu memerlukan disiplin dan konsentrasi yang tinggi kerana mereka perlu sentiasa melihat ke arah skrin untuk memastikan muzik terus dimainkan.

“Kebanyakan kanak-kanak bermula dengan bunyi dram dengan tujuan untuk berinteraksi dengan persekitaran sebenar,” katanya.

Dia sudah mengajar program itu di beberapa sekolah keperluan khas di Barcelona dan sehingga kini dikatakan lebih 2,000 orang memuat turun perisian itu.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.