
Di Mesir, ia bukanlah satu perkara biasa untuk seorang wanita melatih golongan lelaki dalam sukan ekstrem seperti tinju.
Lebih-lebih lagi di selatan Kaherah apabila kebanyakan penduduk melakukan kerja pertanian menyebabkan peranan wanita begitu terhad di sana.
Namun, Sabah Saqr, 36, tidak mahu membataskan dirinya dan menjalankan kehidupan sama seperti penduduk lain, sebaliknya cuba menerokai potensi diri dengan lebih luas lagi.
Dia bukan calang-calang wanita kerana pernah memenangi pelbagai kejohanan tinju dan mengumpul lebih 10 medal sebelum bergelar jurulatih sejak dua tahun lalu.
“Saya mula terjebak dengan sukan tinju secara tidak sengaja. Pada mulanya, saya langsung tidak menyukainya kerana bimbang mengalami kecederaan pada muka,” katanya.
Kini, ibu seorang anak itu sibuk melatih kira-kira 20 pelajar lelaki berusia 18 hingga 30 tahun yang berminat untuk menyertai sukan lasak berkenaan.
Dia mengadakan kelas dua kali seminggu di sebuah gimnasium kecil di bandar Beni Suef dan turut mengajar kanak-kanak cara untuk bertinju dengan betul.
“Pada mulanya, ramai tidak dapat menerima keadaan ini. Seperti anda tahu, di sebelah selatan, agak sukar untuk menjadi jurulatih sukan seperti tinju.
“Lebih sukar lagi apabila seorang wanita menjadi jurulatih dalam sukan ini,” katanya.
Bagaimanapun katanya, pendekatan serius yang dilakukan dalam mengendalikan latihan itu menyebabkan dia semakin mendapat kepercayaan tinggi dan dihormati masyarakat.
Menurut salah seorang pelajarnya, Amr Salah Eldin, dia mengakui bahawa kehadiran wanita sebagai jurulatih lelaki dilihat sebagai satu perkara negatif di tempatnya.
Katanya, dia pada mulanya meragui dengan kebolehan wanita itu namun memberi peluang kepada diri sendiri dan akhirnya berasa selesa memandangkan Sabah mempunyai pengalaman luas dalam sukan terbabit.
“Di sini tidak ramai jurulatih tinju dan saya memberi peluang kepada diri untuk mengikuti latihan dikendalikannya dan ia agak menyeronokkan,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]