
Sejak beberapa tahun lalu, Gerald Stratford hanya dilihat sebagai petani biasa berusia 72 tahun yang gemar menghabiskan masa di kebun dengan menanam pelbagai jenis sayuran di Cotswolds, England.
Namun, baru-baru ini, dia menjadi petani berstatus ‘selebriti’ dengan sekelip mata sejak berkongsi gambar tanaman gergasinya di media sosial ketika perintah berkurung dilaksanakan akibat Covid-19.
Ini kerana, ramai netizen mengagumi kemahirannya dalam bidang pertanian serta kepandaiannya menjaga tanaman hingga hasil sayuran seperti lobak merah boleh membesar seberat 2.7 kilogram.
Warga emas itu kini mempunyai lebih 300,000 pengikut di Twitter selain ramai peminat di Instagram selain bakal menerbitkan buku tips berkebun berjudul ‘Gerard-style’ pada September ini.
Dia juga sering menjadi tetamu undangan di Radio Oxford dan Channel 4, malah wajahnya bakal menghiasi kempen pengiklanan jenama fesyen terkenal Itali, Gucci yang memfokuskan isu kelestarian dalam fesyen.
“Ia sebenarnya bermula setahun lalu apabila seorang rakan mencadangkan supaya saya memuat naik gambar tanaman di Twitter.
“Saya bukanlah seorang yang mahir menggunakan teknologi. Mujur ada anak saudara yang boleh membantu memuat naik gambar ini di media sosial,” katanya yang turut dibantu isteri, Liz, 77, di kebunnya.
Gerald berkata, tips utamanya untuk menjadikan tanaman hidup subur adalah menjaganya dengan penuh kasih sayang seperti ‘anak’ sendiri.
“Liz menjaga anak pokok manakala saya menjaga pokok yang sudah dewasa. Semua tanaman ini dianggap seperti ‘anak’ sendiri.
“Sudah tentu, saya juga ‘bercakap’ dengan pokok untuk memberi semangat kepadanya hidup subur. Saya melakukannya sama seperti bercakap dengan manusia,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]