Replika lukisan Mona Lisa bakal cecah harga RM1.5 juta

Replika lukisan Mona Lisa bakal cecah harga RM1.5 juta

Lukisan ini dihasilkan oleh peminat pelukisnya, Leonardo da Vinci ketika awal abad ke-17.

Ia turut dikenali sebagai Mona Lisa Hekking iaitu sempena nama bekas pemiliknya, Raymond Hekking.

Sebuah replika lukisan terkenal Leonardo da Vinci, Mona Lisa dijangka mencecah harga setinggi €300,000 (RM1.5 juta) dalam satu jualan yang akan diadakan di Paris, Perancis.

Lukisan itu dikatakan dihasilkan oleh peminat da Vinci ketika awal abad ke-17 dan ia dikenali sebagai Mona Lisa Hekking iaitu sempena nama bekas pemiliknya, Raymond Hekking.

Hekking yang meninggal dunia pada 1977, pernah meragui keaslian karya asal terkenal itu yang kini dipamerkan di Muzium Louvre.

“Karya ini dan sejarahnya menggambarkan tarikan yang ada pada lukisan Mona Lisa serta aura dimiliki oleh Leonardo da Vinci sejak dulu lagi,” kata syarikat lelong, Christie dalam kenyataannya.

Pengarah Antarabangsa Old Master Paintings, Pierre Etienne yang dipetik dalam kenyataan itu berkata, lukisan Mona Lisa Hekking juga adalah gambaran impian seorang lelaki yang begitu minat kepada karya seni.

Hekking membeli lukisan itu sekitar tahun 1950-an daripada seorang penjual karya di Nice.

Lukisan asal Mona Lisa milik Leonardo da Vinci yang dipercayai dihasilkan pada awal abad ke-16 adalah karya seni paling agung dan terkenal di seluruh dunia.

Da Vinci juga diangkat sebagai salah seorang pelukis terhebat dari Zaman Pembaharuan di Itali.

Namun, pada 1911, Louvre pernah dikejutkan dengan satu kejadian curi membabitkan lukisan itu sekali gus mencetuskan sensasi di seluruh dunia.

Dalam kejadian itu, salah seorang pekerja muzium dikenali sebagai Vincenzo Peruggia didakwa menyembunyikan lukisan terbabit dalam sebuah almari dalam cubaan melarikannya.

Bagaimanapun, ia berjaya diperolehi semula pada 1913 apabila pekerja itu cuba menjualnya kepada seorang peniaga barangan antik di Florence.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.