
Sebuah rakaman video menunjukkan kegigihan seorang insan penyayang yang menyelamatkan seekor anak kucing daripada mati ditenggelami air, berjaya menyentuh hati ramai netizen.
Video yang dikongsi di laman Facebook Kelab Pecinta Kucing oleh pengguna TikTok dengan nama ffjkento itu memaparkan bagaimana lelaki terbabit cuba mengeluarkan haiwan yang terperangkap dalam sebuah longkang besar.
Kejadian dipercayai berlaku di Pasir Mas, Kelantan apabila dia menerima aduan daripada seorang wanita dikenali sebagai ‘Kak Siti’ yang memaklumkan kucing itu terperangkap selama dua hari.
Menurut wanita itu, dia cuba mendapatkan bantuan anggota Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat namun usaha itu gagal.
“Kak Siti sudah menghubungi JPAM Pasir Mas tetapi apa yang mereka boleh buat, sudah cuba tetapi tidak boleh. Sudah hubungi bomba juga tetapi tidak dilayan.
“Jadi, aku ambil keputusan untuk cuba juga (selamatkan kucing). Kak Siti beritahu kucing itu terperangkap selama dua hari dan jika tidak diselamatkan ia mungkin mati,” tulisnya pada video berkenaan.
Pada mulanya, dia menggunakan jaring untuk membawa kucing itu keluar tetapi tidak berhasil selain berusaha selama beberapa jam untuk membuka penutup longkang besi dengan bantuan seorang penduduk.
Namun, usaha itu sekali lagi menemui jalan buntu sekali gus menyebabkannya cuba mencari cara lain dengan membeli besi kuku kambing untuk membuka penutup longkang berkenaan.
“Aku agak sedih jika tidak dapat menyelamatkannya. Jadi, aku cuba yang terbaik. Mujur ada abang ini tolong sekali. Berjam-jam kami mencuba hingga berpeluh-peluh untuk membuka penutup longkang.
“Aku cuba beli besi kuku kambing. Alhamdulillah, mujur ada kedai buka pada musim PKP 3.0 ini,” katanya.
Menurutnya, dia lebih bersemangat dan terharu apabila melihat ramai penduduk menunjukkan sikap bersatu padu selepas tampil menghulurkan bantuan.
Mereka akhirnya berjaya menyelamatkan kucing comel berwarna oren itu sebelum memberinya ubat, membersihkan serta menjemurnya di tengah panas.
“Saya hormat dengan semua yang membantu anak kucing ini. Alhamdulillah, ia dapat diselamatkan hasil bantuan orang ramai. Terima kasih, semoga anak kucing ini menjadi saksi di akhirat kelak,” tulisnya lagi.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]