Cimpanzi terkenal, Cobby sudah tiada

Cimpanzi terkenal, Cobby sudah tiada

Cobby dilaporkan mati ketika berusia 63 tahun di San Francisco Zoo and Gardens.

Gambar lama Cobby pada 2009 yang bermain dengan labu ketika sambutan Halloween di San Francisco. (Gambar AP)

Seekor cimpanzi tertua di Amerika Syarikat yang terkenal menerusi rancangan televisyen pada tahun 1960an, dilaporkan mati di sebuah zoo di San Francisco ketika berusia 63 tahun.

Haiwan itu dikatakan sakit akibat faktor usia yang sudah lanjut dan ia berkemungkinan menjadi punca kepada kematiannya.

“Cobby adalah sebahagian daripada San Francisco. Ia menyentuh kehidupan ramai orang dan mereka menyimpan banyak kenangan manis bersamanya.

“Ia adalah satu kehilangan yang sukar dicari ganti dan berita ini amat menyedihkan. Kehilangannya akan dirindui oleh kami semua,” kata Pengarah Eksekutif Persatuan Zoologi San Francisco, Tanya M Peterson.

Cimpanzi itu sebelum ini dikenali menerusi satu siri rancangan kanak-kanak, Cobby’s Hobbies yang menampilkan gelagatnya melakukan pelbagai aktiviti manusia.

Rancangan yang diterbitkan oleh Calvin Productions di Kansas City bagaimanapun menghentikan penggambarannya pada 1964.

Kisah perjalanan Cobby itu kemudiannya diceritakan menerusi satu dokumentari dihasilkan oleh seorang pembuat filem dan pensyarah, Dr Donna McRae.

Dokumentari itu mengupas secara mendalam mengenai kehidupannya yang bermula dari kaca televisyen dan akhirnya menghabiskan sisa riwayat hidup di zoo berkenaan.

“Dalam rancangan itu, Cobby memainkan semua watak termasuk pasangannya, Cobina.

“Rancangan itu diceritakan menerusi monolog dalaman oleh Cobby. Suara Cobina pula kedengaran seperti suara pelakon, Zsa Zsa Gabor,” kata McRae.

Menurut Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa, cimpanzi disenaraikan sebagai haiwan terancam dan dianggap sebagai primat paling terdedah kepada risiko di Afrika akibat kegiatan pemburuan, kehilangan habitat serta penyakit.

Purata jangka hayat bagi 100,000 hingga 200,000 cimpanzi yang tinggal di dalam hutan adalah sekitar 33 tahun manakala bagi cimpanzi di bawah jagaan manusia pula, ia boleh hidup sekitar 50 hingga 60 tahun.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.