
Sebuah bola sepak Lego gergasi terbesar dunia berjaya dihasilkan dalam tempoh 150 jam sebelum dipamerkan di Rumah Lego di Billund, Denmark bersempena acara Kejohanan Bola Sepak Eropah pada 11 Jun ini.
Billund adalah tempat asal bermulanya permainan bongkah plastik yang terkenal di seluruh dunia itu.
Binaan seberat 2.5 tan itu dihasilkan daripada 173,600 bongkah Lego klasik berukuran 2×2 dengan sepenuhnya tanpa menggunakan sebarang bahan pelekat.
Bola sepak setinggi 4.10 meter itu dibina oleh seluruh pekerja Rumah Lego terbabit yang memanfaatkan masa ketika perintah berkurung dilaksanakan akibat pandemik Covid-19.
Pekerja itu termasuk tukang cuci, pereka, pekerja dapur malah Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jesper Vilstrup yang turut menyumbang tenaga untuk menyiapkan binaan menarik terbabit.
Sejak diwujudkan, Rumah Lego menjadi lokasi penting untuk mempamerkan binaan Lego terbaik dan terbesar yang pernah dihasilkan untuk tatapan umum khususnya peminat permainan itu.
Perekanya, Søren Hansen Hinge berkata, dia bangga melihat hasil itu yang menampilkan rekaan bola sepak klasik.
“Rekaan bola sepak ini adalah satu ikonik yang dikenali oleh semua orang. Kita boleh menggunakan rekaan daripada Kejohanan Eropah tetapi tidak pasti sama ada orang akan mengenalinya sebagai bola sepak atau sebaliknya walaupun ia kelihatan menarik,” katanya.
Mereka menghasilkan sebanyak 75 model sebelum dicantum bersama menggunakan rangka besi untuk menyokong binaan gergasi terbabit.
Manakala pembantu pekerja pembersihan, Kathrin Grosen berkata, dia gembira kerana diberi peluang untuk menyumbang tenaga bersama pekerja lain bagi membina binaan Lego terbesar itu.
“Saya amat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan pekerja dari pelbagai jabatan untuk membina bola sepak terbesar ini,” katanya.
Sementara itu, Jesper berkata, dia melihat usaha itu dapat merapatkan lagi hubungan antara pekerja terutama ketika berdepan kesukaran ketika pandemik.
“Tempoh yang dilalui ini amat sukar sekali untuk semua orang dan saya tidak dapat memikirkan cara terbaik untuk mewujudkan semangat kebersamaan antara pekerja selain usaha ini yang dilakukan sempena acara sukan terbesar,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]