Nintendo bakal buka galeri muzium permainan video di Kyoto

Nintendo bakal buka galeri muzium permainan video di Kyoto

Syarikat permainan video terbesar dunia ini akan menggunakan semula tapak kilang lama mereka untuk mewujudkan sebuah galeri muzium yang siap pada 2024.

Taman tema Nintendo yang baru saja dibuka Mac lalu.

Selepas membuka taman tema pertamanya pada Mac lalu, syarikat permainan video terbesar dunia, Nintendo sekali lagi membuatkan peminatnya teruja apabila dijangka membuka muzium pula menjelang 2024.

Syarikat itu yang baru saja membuat pengumumannya baru-baru ini bercadang untuk menggunakan semula tapak kilang lama di Kyoto untuk mengimbau kembali sejarah produk permainan video mereka.

“Nintendo sentiasa membincangkan kemungkinan membina sebuah galeri muzium sebagai salah satu cara untuk berkongsi sejarah pembangunan produk Nintendo dan falsafah kami bersama orang ramai,” kata syarikat itu.

Galeri muzium yang akan menampilkan pelbagai bahan pameran bersejarah Nintendo serta pengalaman menarik kepada peminatnya dijangka beroperasi pada Mac 2024.

Mereka tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai perancangan syarikat itu yang dikenali dengan permainan video terkenal seperti Super Mario dan Donkey Kong itu.

Sehingga kini, syarikat itu hanya menjelaskan galeri terbabit akan ditubuhkan di bandar Uji, Kyoto menggunakan tapak kilang lama yang dibina pada 1969.

Kilang itu juga sebelum ini beroperasi sebagai pusat membaiki konsol permainan video namun operasinya sudah dipindahkan ke tempat lain pada 2016.

Sejak itu, Nintendo memikirkan idea yang sesuai untuk memanfaatkan ruang di kilang lama berkenaan.

Nintendo memulakan operasinya sebagai pengeluar permainan kad hanafuda sebelum melancarkan mesin permainan video dikenali sebagai TV Game 15 dan TV Game 6 pada 1977.

Kemudian, mereka melancarkan permainan video Super Mario pada 19895 iaitu dua tahun selepas syarikat terbabit mula menjual konsol Nintendo.

Taman tema Super Nintendo World dibuka pada Mac lalu selepas beberapa bulan tertangguh akibat pandemik Covid-19 dan ia adalah sebahagian daripada kompleks Universal Studios Japan di Osaka merangkumi permainan kereta Mario Kart dan Bowser’s Castle.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.