Kucing ‘kebal’ digelar ‘Purr-minator’ kerana terselamat biarpun ditembak tiga kali

Kucing ‘kebal’ digelar ‘Purr-minator’ kerana terselamat biarpun ditembak tiga kali

Teddy melalui pengalaman yang hampir meragut nyawa namun berjaya terselamat dan pulih seperti sediakala.

Teddy sering menjadi sasaran individu kejam yang menyeksa haiwan. (Gambar SWNS)

Seekor kucing di Britain digelar netizen sebagai Terminator versi kucing, ‘Purr-minator’ kerana masih terselamat biarpun pernah mengalami kecederaan teruk akibat ditembak sebanyak tiga kali.

‘Kekebalan’ kucing bernama Teddy turut mengejutkan tuannya, Lauren Williams, 27, yang tidak menyangka bahawa haiwan peliharaan kesayangan itu masih panjang umur.

Januari lalu, kucing terbabit terkena tembakan pada bahagian ekor sebanyak dua kali namun sehingga kini polis masih belum dapat mengesan penjenayah kejam berkenaan.

“Amat menakjubkan sekali apabila Teddy masih terselamat. Ia adalah kucing paling ‘kebal’. Saya tidak rasa ada lagi kucing lain sepertinya,” katanya.

Katanya, kejadian terbaru agak teruk apabila ia hampir meragut nyawa kucingnya itu.

“Kecederaan terbaru ini agak teruk apabila peluru menembusi bahagian perutnya. Saya amat sedih tetapi bersyukur kerana ia tidak terkena bahagian organnya

“Kami menyangkakan Teddy bergaduh dengan kucing lain tetapi imbasan sinar-X menunjukkan terdapat tiga peluru pada perutnya. Jika terkena organnya, ia mungkin mati,” katanya.

Teddy kemudiannya dirawat di sebuah hospital veterinar di Birmingham dan dimasukkan cecair IV serta diberi rawatan segera dan kini sembuh seperti sediakala.

“Ia adalah perkara menakutkan apabila memikirkan masih ada orang yang sanggup menyeksa haiwan seperti ini.

“Ia mungkin ditembak di kawasan berhampiran ketika ingin pulang ke rumah menerusi taman iaitu tempat saya menemuinya.

“Ketika itu langsung tidak bergerak dan terbaring dalam keadaan berlumuran darah. Saya tidak dapat berhenti menangis melihat keadaannya,” katanya.

Kisah yang dikongsi di media sosial itu amat menyentuh hati netizen yang kagum dengan kekuatan dimiliki oleh kucing itu.

“Ini adalah kucing paling lasak. Kita patut menamakannya sebagai ‘Purr-minator’. Tidak kira berapa kali ditembak, dia tetap terselamat,” tulis seorang netizen.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.