
Petaling Jaya: Malaysia mungkin terkenal dengan pelbagai kejayaan sebelum ini namun, perjalanannya masih jauh untuk mencapai status hab pembangun permainan video.
Mengambil kira bilangan peminat permainan video di Malaysia, keadaan ini dianggap mengejutkan terutama ketika industri ini berkembang pesat dalam menjana pendapatan berjuta dolar.
Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, beberapa pembangun permainan video secara bebas kian menjadi perhatian menerusi hasil seni mereka.
Selain dilihat sebagai bidang yang lumayan, industri permainan video juga menyediakan satu platform untuk seluruh penggiat menjadikan kerjaya ini sebagai menyeronokkan.
Baru-baru ini, sebuah syarikat permainan video bebas, menghiasi muka depan berita permainan video antarabangsa.
Apa yang dilakukannya hingga mendapat liputan sebegitu luas? Ia kerana permainan video yang menampilkan suasana ‘Midwest’ Amerika Syarikat (AS) ini dibangunkan oleh sebuah syarikat berpangkalan di Malaysia dan diasaskan oleh rakyat tempatan.

Hidden Chest Studio adalah sebuah syarikat pembangun permainan video yang kecil berpusat di Petaling Jaya dan diasaskan oleh Kesh Ganesparan, Alex Tan dan Tan Yi Ming.
Projek pertama mereka, sebuah permainan video diberi nama Midwest 90: Rapid City, mendapat perhatian besar oleh peminat di Amerika Syarikat yang tertarik dengan kreativiti mereka menampilkan suasana ‘Midwest’ di sana.
Bagaimana dan mengapa tiga anak muda ini boleh mendapat idea berbeza seperti ini?

FMT sempat menemubual Alex yang berbesar hati untuk berkongsi kisah mereka serta perkembangan dalam industri permainan video di Malaysia.
“Kesh menghasilkan prototaip Midwest 90: Rapid City sebelum pandemik melanda dan dia mendapatkan bantuan Yi Ming dan saya untuk membangunkan permainan video ini.
“Selepas berjaya mendapatkan geran Cabaran Pencipta Kandungan Digital 2020 daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), kami membentuk Hidden Chest Studio bersama-sama,” katanya.
Tiga anak muda itu membuat keputusan untuk berpusat di Malaysia atas alasan tersendiri berbanding memilih lokasi lain.
Alex berkata, industri permainan video tempatan menunjukkan perkembangan baik sejak beberapa tahun lalu dengan pembabitan beberapa syarikat tempatan dalam membangunkan tajuk terkenal seperti Mortal Kombat dan Street Fighter.
“Sebagai rakyat Malaysia, kami percaya kita mempunyai banyak bakat tempatan.
“Ramai rakyat Malaysia mempunyai bakat dan semangat untuk menghasilkan permainan video,” katanya sambil menjelaskan terdapat banyak syarikat permainan video luar yang ingin mengambil kesempatan terhadap kos pengeluaran yang rendah di sini.
Mempunyai hobi bermain permainan video tidak memadai untuk seseorang menjadi seorang pembangun kerana ia memerlukan keinginan, semangat dan sanggup bekerja keras.

“Mencipta sebuah permainan video memakan masa bertahun-tahun untuk melakukan penyelidikan dan latihan dalam pelbagai sudut sama ada pengaturcaraan, lukisan, membuat model tiga dimensi atau rekaan.
“Ini sebabnya saya merasakan ia memerlukan satu keinginan tinggi kerana ia akan menjadi pendorong kepada seseorang ketika menempuh cabaran sukar,” katanya.
Tetapi mengapa Alex dan rakan pengasasnya memilih untuk menjadi pembangun permainan video?
Sebagai seorang yang minat dengan permainan video, Alex berkata ia membantunya untuk memahami aspek mencipta permainan video dan lebih menghargainya.
“Secara peribadi, saya masih teringat ketika melalui zaman sekolah di mana saya tidak sabar untuk pulang ke rumah dan bermain Patapon 2 di konsol permainan PlayStation.
“Ia sentiasa menjadi impian kami untuk membawa kegembiraan sama kepada orang ramai yang bermain permainan video dihasilkan ini,” katanya.
Tajuk permainan video pertama mereka itu kelihatan agak pelik tetapi ia adalah satu keputusan yang kreatif.
Menurut Alex, suasananya diinspirasikan daripada sebuah restoran di Petaling Jaya dikenali sebagai Betty’s Midwest Kitchen yang dimiliki oleh rakan kepada Kesh.
“Pada satu malam, ketika Kesh menikmati salah satu burger popular mereka, dia membayangkan, bagaimana jika ada raksasa di luar ingin mendapatkannya juga?” katanya.
Daripada situ, tercetuslah idea untuk mewujudkan Midwest 90.

Permainan video ini dianggap sebagai salah satu dalam genre taikun restoran tetapi ia turut menyelitkan elemen penceritaan yang menjadikannya agak berbeza berbanding permainan video lain.
“Secara ringkasnya, Midwest 90 dimainkan oleh pemain solo berbentuk penceritaan di mana pemainnya akan mengendalikan sebuah restoran ‘Midwest 90’ yang memasak dan menghidangkan daging raksasa,” katanya.
Permainan video ini masih lagi dalam proses pembangunan disebabkan beberapa halangan termasuk pandemik Covid-19.
“Mencipta permainan video sendiri mengambil masa bertahun-tahun untuk proses pembangunan sebelum ia dapat dijual kepada umum.
“Jadi, kami harus mengurangkan skala pembangunan permainan video ini dan mencari alternatif lebih murah,” katanya.
Namun, adakah Midwest 90 akan menjadi satu permainan video yang baik? Apa sebenarnya permainan video yang terbaik?
“Pada pandangan saya, apa saja permainan video yang dianggap menyeronokkan untuk anda, ia adalah permainan video yang baik. Akhirnya ia terpulang kepada anda atau pemain itu sendiri sama ada mereka benar-benar menikmatinya atau tidak,” katanya.
Sertai Hidden Chest Studio menerusi saluran Discord mereka atau ikuti laman Facebook untuk perkembangan terbaru dan perbincangan mengenai Midwest 90: Rapid City.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]