Panda gergasi Liang Liang lahir anak ketiga

Panda gergasi Liang Liang lahir anak ketiga

Ia adalah anak ketiga pasangan panda gergasi, Xing Xing dan Liang Lang yang dilahirkan di Pusat Konservasi Panda Gergasi di Zoo Negara.

Liang Liang melahirkan seekor lagi anak di Zoo Negara semalam. (Gambar Bernama)

Pasangan panda Xing Xing dan Liang Liang melahirkan seekor lagi anak di Pusat Konservasi Panda Gergasi di Zoo Negara, malam semalam.

Ia adalah kelahiran anak ketiga bagi pasangan panda berkenaan sejak ditempatkan di pusat itu pada 2014.

Menurut satu kenyataan dikeluarkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) semalam, anak kedua haiwan itu, Nuan Nuan dan Yi Yi masing-masing dilahirkan pada 18 Ogos 2015 dan 14 Januari 2018.

Kenyataan itu menjelaskan, buat masa ini mereka masih belum mengenal pasti jantina anak panda terbabit kerana ia masih di bawah jagaan rapi ibunya dan tidak dapat didekati.

“Petugas Zoo Negara akan terus memantau dan mengawasi Liang Liang serta anaknya dalam tempoh 24 jam,” kata mereka.

Kelahiran anak panda gergasi itu adalah satu kejayaan kepada usaha konservasinya menerusi Program Kerjasama Antarabangsa Konservasi Panda Gergasi antara kerajaan Malaysia dan China yang dimeterai pada 2012.

Sebelum ini, media melaporkan, pengunjung ke Zoo Negara meningkat kira-kira 10 peratus sejak anak pertama panda terbabit dilahirkan dan mula dipamerkan kepada orang ramai.

Xing Xing dan Liang Liang dipinjamkan oleh kerajaan China sebagai simbol jalinan hubungan diplomatik 40 tahun antara Kuala Lumpur dan Beijing dan haiwan terbabit tiba di negara ini pada 21 Mei 2014.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.