Spesis kura-kura gergasi yang dianggap pupus, muncul semula

Spesis kura-kura gergasi yang dianggap pupus, muncul semula

Kura-kura betina ditemui di Pulau Fernandina dua tahun lalu disahkan berasal daripada spesis yang pupus sejak lebih satu abad lalu.

Kura-kura spesis Chelonoidis Phantasticus yang berjaya ditemui semula. (Gambar Facebook)

Sekumpulan saintis mengesahkan seekor kura-kura gergasi yang ditemui di Kepulauan Galapagos sebelum ini, berasal daripada satu spesis yang dianggap pupus sejak kali terakhir dilihat lebih satu abad lalu.

Kura-kura betina itu ditemui di Pulau Fernandina dua tahun lalu dalam satu ekspedisi bersama yang dilakukan antara Taman Negara Galapagos dan Pusat Konservasi Galapagos.

Saintis daripada Universiti Yale kemudian melakukan kajian dan berjaya mengenal pasti haiwan terbabit daripada spesis Chelonoidis Phantasticus yang sudah lama pupus.

“Pihak universiti mendedahkan penemuan mereka ini hasil daripada kajian genetik dan perbandingan DNA spesimen yang pernah diambil pada 1906,” kata jurucakap Taman Negara Galapagos dalam satu kenyataan.

Penemuan itu mendorong taman negara berkenaan untuk melakukan lebih banyak ekspedisi bagi mencari kura-kura gergasi dalam usaha menyelamatkan spesis terbabit.

Pulau Galapagos terkenal sebagai sumber lokasi ahli biologi terkenal British, Charles Darwin mendapat teori evolusinya dan ia turut menjadi habitat kura-kura yang hidup bersama pelbagai spesis burung akuatik.

Ia juga menempatkan sebahagian besar hidupan flora dan fauna terancam.

“Kura-kura ini dipercayai sudah pupus lebih 100 tahun lalu. Kita mengesahkan semula kewujudannya,” tulis Menteri Alam Sekitar Equador, Gustavo Manrique.

Berdasarkan data terkini dikeluarkan Taman Negara Galapagos, mereka menganggarkan terdapat sebanyak 60,000 populasi kura-kura gergasi daripada pelbagai spesis.

Salah satunya dikenali sebagai ‘Lonesome George’, iaitu seekor kura-kura jantan di Pulau Pinta yang mati pada 2012.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.