Pico, kucing buta unik terkenal di internet

Pico, kucing buta unik terkenal di internet

Pico adalah kucing jalanan yang diselamatkan Marie-Josee Brisson selepas ia dilanggar kereta.

Pico yang buta pada kedua belah mata mempunyai 98,000 pengikut di TikTok. (Gambar Caters)

Seekor kucing buta di Kanada menjadi sensasi di internet kerana kecacatannya itu dianggap sebagai satu keunikan yang jarang ditemui.

Kucing bermata besar baka Norwegian Forest bernama Pico itu tinggal bersama tuannya, Marie-Josee Brisson dan anaknya perempuan, Monica yang berusia 17 tahun.

Kecacatan yang dialami itu berpunca daripada masalah glaucoma pada kedua-dua belah mata sekali gus menyebabkan bebola matanya lebih besar berbanding biasa.

Pico sebenarnya adalah kucing jalanan yang diselamatkan selepas dilanggar sebuah kereta sebelum berjaya pulih seperti sediakala.

Selepas itu, tuannya menyedari matanya yang berwarna hijau bertukar kelabu sebelum dirujuk semula kepada doktor veterinar untuk rawatan.

Bagaimanapun, kucing comel terbabit akhirnya disahkan mengalami masalah glaucoma pada kedua-dua belah matanya.

“Sebelum ini matanya berwarna hijau tetapi satu hari dia mengalami jangkitan yang kemungkinan menyebabkan glaucoma hingga menjadi buta.

“Pico sudah boleh membiasakan diri dengan keadaan itu tetapi kadangkala pernah juga terlanggar perabot. Ia juga semakin kenal dengan kawasan rumah,” kata Marie-Joisiee.

Kucing berusia sembilan tahun itu semakin mendapat perhatian di internet apabila tuannya sering memuat naik video Pico di TikTok hingga berjaya menarik 98,000 pengikut di akaun media sosial tersebut.

Monica sering memuat naik perkembangan terkini Pico kepada peminat setianya terutama mengenai aktiviti harian kucing itu yang gemar bermain di luar serta mengunyah rumput.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.