
Siapa yang tidak kenal dengan kereta paling ikonik yang pernah ‘membintangi’ beberapa filem Hollywood seperti Batman, Ghostbusters dan James Bond.
Ia menjadi koleksi paling berharga buat seorang pengumpul kereta tegar, Mark Perkins, yang berhabis wang selama 30 tahun untuk membeli semua kereta berkenaan.
Dia yang bekerja sebagai pemaju hartanah itu dikatakan sudah memiliki enam koleksi kereta Batman termasuk Batmobile asal pada 1966 dan Batman Tumbler yang digunakan dalam filem Dark Knight Trilogy.
Lelaki berusia 58 tahun itu juga turut memiliki Ecto-1 Cadillac daripada filem Ghostbusters serta Beetle Herbie yang terkenal menerusi filem The Love Bug.
Bagaimanapun katanya, dia sebenarnya bukanlah peminat filem tetapi gemar kepada kereta yang unik.
“Filem yang menampilkan watak adiwira bukanlah kegemaran saya. Begitu juga dengan filem James Bond, walaupun saya menyimpan kereta Aston Martin daripada filem Goldfinger.
“Saya sudah lama menjadi seorang pengumpul kereta dan minat sebenar saya ialah menyimpan koleksi kereta unik,” katanya yang menetap di Ascot, England.
Selain itu, dia juga memiliki ‘Tom Mater’ iaitu salah satu watak popular dalam filem animasi Cars serta sebuah kereta daripada filem Dumb and Dumber yang dikeluarkan pada 1994.
Menurut Perkins, minat itu menyebabkan dia sanggup merantau ke seluruh dunia semata-mata untuk mencari koleksi baru untuk disimpan di rumahnya.
“Ia adalah satu hobi yang menarik dan saya mencari koleksi di seluruh dunia.
“Saya suka melihat koleksi yang ada namun saya sedari ruang yang ada semakin terhad untuk menyimpan semua kereta ini,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]