
Sekumpulan pemburu ikan yu dikejutkan dengan penemuan populasi spesies ikan purba berusia 420 juta tahun, Coelacanth yang disangkakan sudah pupus.
Mereka menemui ikan terbabit di bahagian barat daya Madagascar di Lautan Hindi selepas ia tersangkut pada pukat yang digunakan untuk menangkap ikan yu.
Spesis ikan itu mempunyai empat sirip yang kelihatan seperti kaki menyebabkan ia pernah diberi gelaran sebagai ‘ikan berkaki empat’.
Menurut satu kajian terbaru oleh Jurnal Sains Afrika Selatan, pukat itu yang digunakan secara meluas untuk menangkap ikan yu sejak tahun 1980an memberi kesan buruk terhadap populasi Coelacanth yang masih kekal.
“Penggunaan pukat ini yang didorong oleh permintaan tinggi terhadap sirip dan minyak ikan yu dari China pada pertengahan hingga lewat 1980an menyebabkan tangkapan spesis ikan purba ini semakin banyak di Madagascar serta beberapa negara lain di barat Lautan Hindi,” kata penyelidik.
Pukat yang digunakan mereka dikatakan boleh berada pada kedalaman 100 meter hingga 300 meter di mana tempat ikan boleh ditemui.
Menurut ketua penulis kajian itu yang juga Pengarah Urusan RESOLVE Sarl, Andrew Cooke, dia tidak menafikan bahawa terdapat kemungkinan lebih 100 ikan Coelacanth ditangkap di Madagascar dalam tempoh beberapa dekad kebelakangan ini.
“Ketika membuat kajian lebih mendalam, kami terkejut dengan bilangan ikan ini yang ditangkap, walaupun tiada ada langkah proaktif untuk memantau dan memulihara hidupan ini di Madagascar,” katanya.
Berdasarkan senarai yang dikeluarkan RESOLVE pada September tahun lalu, sekurang-kurangnya 34 contoh spesimen pernah diambil sebelum ini antara 1987 hingga 2019.
Selain itu, Cooke dan beberapa pakar lain percaya bahawa Madagascar adalah pusat pengumpulan spesis ikan prasejarah berkenaan.
“Kewujudan populasi ikan di kawasan ini tidak mengejutkan memandangkan ia menjadi tempat pelbagai habitat hidup di pulau purba berkenaan,” tulisnya dalam kajian itu.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]