‘Mandalorian’ pun suntik vaksin

‘Mandalorian’ pun suntik vaksin

Seorang lelaki tular di media sosial apabila memakai topi keledar Mandalorian ketika mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Seorang peminat Star Wars tular di media sosial apabila membuat kemunculan penuh bergaya untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 dengan mengenakan topi keledar Mandalorian.

Menerusi sekeping gambar dikongsi netizen di Twitter, lelaki tersebut kelihatan bersahaja dengan topi keledarnya ketika berurusan di kaunter sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) AstraZeneca.

Gambar itu terus dikongsi oleh netizen yang kelihatan begitu terhibur dengan gelagatnya apabila cuba menampilkan ‘kelainan’ dalam suasana pandemik ketika ini.

Sambil bertopi keledar, pemilik akaun Twitter @wanariefimran itu turut memuat naik gambarnya sebaik menerima suntikan pertama vaksin berkenaan.

“Selagi lengan baju boleh ditarik untuk dicucuk, anda boleh pakai apa saja yang anda mahu!” tulisnya pada gambar tersebut.

Dia turut menggalakkan peminat cosplay untuk menggayakan kostum masing-masing sebagai salah satu cara untuk menjadikan proses suntikan vaksin itu sebagai perkara yang menyeronokkan.

Pada masa sama katanya, ia dapat meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan vaksin dan melindungi diri serta keluarga mereka.

“Tiada ComicCon, tidak ada masalah. Ini adalah ‘konvensyen’ untuk anda semua menayangkan kostum masing-masing selepas beberapa tahun berdebu.

“Jadikan proses mendapatkan suntikan vaksin ini sesuatu yang menyeronokkan dan menggalakkan orang ramai!

“Pastikan juga kostum anda tidak menyukarkan untuk suntikan dilakukan dan kelihatan sopan,” tulisnya lagi.

Meninjau ruangan komen, kebanyakannya memberi sokongan dan tidak kurang juga sempat melontarkan komen lucu.

“Kalau macam ini, aku nak pakai ihram selepas dos kedua nanti. Kira terus jalan pergi buat umrah hahaha,” tulis seorang netizen.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.