Pelukis sembunyi lukisan mini sebagai aktiviti cari harta karun di New York

Pelukis sembunyi lukisan mini sebagai aktiviti cari harta karun di New York

Steve Wasterval menghasilkan lukisan mini pemandangan jalanan di tempat tinggalnya di Brooklyn sebelum menyembunyikannya untuk dicari penduduk.

Wasterval memuat naik gambar lukisan mini dan memberi pembayang di Instagram.

Seorang pelukis gaya impresionisme mempunyai cara tersendiri untuk memperkenalkan karya seninya kepada penduduk di New York, Amerika Syarikat.

Steve Wasterval, 40, yang menetap di Greenpoint di Brooklyn terlalu menyukai kawasan kejiranan itu hingga dia menjadikannya sebagai inspirasi menghasilkan lukisan mini pemandangan di jalanan.

Apa yang unik, dia ingin memberi pengalaman menyeronokkan kepada penduduk supaya mencari lukisan mini yang disembunyikan di kawasan sekitar seperti ‘mencari harta karun’.

Menurutnya, dia memulakan aktiviti hujung minggu itu sejak tiga tahun lalu tetapi terpaksa menangguhkannya selama beberapa bulan akibat pandemik Covid-19.

Dia meneruskannya semula selepas penduduk mula berasa selesa untuk keluar dan mencari ‘harta karun seni’ yang disembunyikan itu.

“Orang ramai terlalu gilakannya. Ia seolah-olah seperti mereka diberi tempoh untuk berehat dan mengambil masa itu untuk menghargai karya seni ini. Mereka begitu teruja untuk keluar mencari lukisan mini ini,” katanya.

Wasterval berkata, dia menghantar emel dan memuat naik gambar lukisan di hadapan tempat dia menyembunyikannya di Instagram selain menyediakan pembayang untuk orang ramai mencarinya.

Walaupun lukisan bersaiz penuhnya dijual antara $2,000 hingga $3,000 (RM8,224 hingga RM12,336) namun dia juga ingin menekankan betapa penting bagi dirinya untuk menghasilkan lukisan mini bersaiz 5x4cm itu dan ia adalah percuma.

“Ia adalah percuma kerana hanya boleh memilikinya dengan mencarinya. Anda tidak boleh membeli dan meraih keuntungan daripadanya,” katanya.

Katanya, kadangkala dia terfikir mengenai siapa yang bertuah berjaya mencari lukisan tersembunyi itu.

“Ia dianggap sebagai satu permainan di mana saya dan orang bertuah itu tidak pernah mengenali satu sama lain sebelum ini. Kini mereka kenal siapa diri saya dan apa yang saya lakukan. Saya juga mengenali sedikit mengenai diri mereka. Ia amat menyeronokkan,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.