Mao Mao, model kucing yang jana pendapatan lumayan

Mao Mao, model kucing yang jana pendapatan lumayan

Mao Mao sering tampil sebagai model kucing profesional mempromosikan jenama kereta.

Gelagat comel Mao Mao ketika mempromosikan salah satu kenderaan.

Seekor kucing baka British Shorthair berusia dua tahun bukan hanya sekadar kucing peliharaan kesayangan tuannya tetapi haiwan itu juga mampu menjana pendapatan sendiri yang lumayan.

Kucing bernama Mao Mao yang tinggal bersama tuannya di Chongqing, China itu kini bergelar sebagai model kucing profesional untuk mempromosikan pelbagai jenama kereta terkenal.

‘Kerjaya’ itu sebenarnya datang secara kebetulan apabila pemiliknya, Zheng bekerja dalam industri automotif dan dia meletakkan Mao Mao di salah satu kereta dalam satu pameran yang diadakan.

Kehadiran Mao Mao di situ terus mencuri perhatian ribuan pengunjung yang berebut-rebut untuk mengambil gambar kucing comel itu sebelum dikongsi di akaun media sosial masing-masing.

Pada masa sama, kucing terbabit secara tidak sengaja turut mempromosikan jenama kereta berkenaan lalu tercetus idea di fikiran Zheng untuk menjadikan Mao Mao sebagai model.

Kucing itu kini menjadi antara model terkenal di pameran kereta dan sering mendapat beberapa tempahan sebulan dengan bayaran sekitar 5,000 yuan (RM3,183) hingga 10,000 yuan (RM6,367) untuk satu acara.

Gelagatnya yang bersahaja turut membuktikan dia sebenarnya begitu sukakan perhatian daripada orang ramai yang cair melihat muka comelnya.

Kebanyakan kucing berasa takut dan terancam jika didekati oleh individu yang tidak dikenalinya namun Mao Mao kelihatan selamba dan langsung tidak berganjak.

Mao Mao dikatakan mempunyai jadual harian yang begitu sibuk menyebabkan tuannya terpaksa mengehadkan tempahan kepada tiga atau empat acara saja sebulan.

Menurut Zheng, dia akan memastikan kucingnya dilayan paling istimewa atas usaha dan penat lelah selama ini menjadi model kucing profesional.

Antara layanan istimewa termasuk membelikannya makanan paling mahal dan enak untuk kucing terbabit.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.