100 ikan duyung buat persembahan terbesar untuk cipta rekod dunia

100 ikan duyung buat persembahan terbesar untuk cipta rekod dunia

100 ikan duyung melakukan persembahan di Atlantis Sanya, China untuk cipta rekod sempena ulang tahun ketiga resort tersebut.

Kira-kira 100 ikan duyung membuat persembahan di Atlantis Sanya pada 28 April lalu. (Gambar Atlantis Sanya/PADI)

Pada hari biasa, sebuah resort terkenal di Hainan, China iaitu Atlantis Sanya menempatkan sebanyak 86,000 hidupan laut membabitkan lebih 280 spesis haiwan.

Tetapi pada 28 April lalu, terdapat kira-kira 100 ‘ikan duyung’ berwarna-warni kelihatan berenang secara berirama dalam akuarium mereka.

Ia bukanlah gimik semata tetapi satu percubaan untuk diiktiraf dalam Guinness World Record sebagai persembahan ikan duyung terbesar, bersempena sambutan ulang tahun ketiga resort terbabit.

Cubaan untuk memecah rekod itu dianjurkan PADI iaitu sebuah pertubuhan penyelam terbesar dunia.

“Bagi mereka yang mencuba aktiviti menyelam secara bebas biasanya akan menggunakan dua sirip.

“Ia membolehkan kedua belah kaki bergerak secara bergilir-gilir. Namun, bagi ikan duyung, kedua kaki mereka diikat menyebabkan sukar untuk bergerak bebas.

“Kami menggunakan bahagian perut dan pinggang untuk bergerak seperti ikan dolfin. Ia memerlukan latihan supaya pergerakan lebih lembut dan elegan seperti ikan duyung sebenar,” kata duta PADI di China, Dada Li.

Renang ikan duyung itu sebenarnya mendapat permintaan besar di China dan pertubuhan terbabit sempat melancarkan beberapa kursus baru kepada orang ramai yang berminat.

Sejak beberapa tahun lalu, aktiviti itu mempunyai standard rasmi di seluruh dunia dengan kemunculan beberapa sekolah latihan dari Singapura hingga ke Amerika Syarikat.

Hari ini, ia menjadi satu trend yang paling popular di China dan sering tular di media sosial.

Menurut ketua pembangunan kursus yang ditawarkan Sekolah Antarabangsa Skuba (SSI), Corinna Davids berkata, dia turut melihat berlakunya peningkatan terhadap trend itu sejak kebelakngan ini.

“Renang ikan duyung adalah satu fenomena di China. Sukan ini berkembang pesat sejak dimulakan pada 2017,” katanya.

SSI menawarkan kursus renang ikan duyung di lebih 3,000 lokasi di seluruh dunia.

“Kini kami mempunyai lebih 1,000 pelatih renang ikan duyung di seluruh China dan ia semakin berkembang,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.