
Patung kecil terdiri daripada pelbagai watak dengan kostum berbeza kelihatan tersusun rapi di setiap rak seorang remaja China yang berusia 18 tahun.
Patung ‘blind box’ itu menjadi kegilaan terbaru Wang Zhaoxue yang seolah-olah ‘ketagih’ untuk terus membeli bagi melengkapkan rangkaian koleksinya.
Selepas kali pertama diperkenalkan di Jepun, patung terbabit mencetuskan fenomena di kalangan pengumpul terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan kegilaan itu kini mula merebak ke China.
Permainan itu dikatakan menjadi satu perniagaan paling lumayan buat pengeluar apabila pasarannya kini dianggarkan bernilai kira-kira $1.14 bilion (RM4.67 bilion) pada 2019.
Data yang dikeluarkan oleh firma penyelidikan pasaran, Qianzhan Intelligence itu turut menjangkakan pasarannya akan berkembang kepada 30 bilion yuan (RM19 bilion) menjelang 2024.
Seperti juga barang koleksi kad besbol, patung terdiri daripada pelbagai watak termasuk pari-pari dan King Kong itu didatangkan menerusi sebuah kotak kecil.
Kotak terbabit kononnya mempunyai elemen misteri apabila pembeli tidak tahu patung apa bakal diperolehi mereka dan adakalanya ia adalah patung yang sama.
Jika bertuah, mereka akan mendapat barang ‘tersembunyi’ di dalam kotak berkenaan sekali gus menyebabkan peminat berlumba-lumba untuk membelinya.
Wang berkata, sebelum ini dia sanggup beratur sepanjang malam untuk menunggu keluaran terbaru di sebuah konvensyen permainan.
Beberapa ahli keluarganya juga adalah pengumpul patung mainan dan koleksi ibunya turut dipamerkan di pintu depan rumah, terdiri daripada beberapa figura wajah bayi bersama kucing.
“Ia begitu unik dan sebab itu patung ini berjaya mencuri perhatian saja,” kata Wang yang kini mempunyai beratus koleksi di rumahnya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]