Unta jadi ‘perpustakaan’ untuk kanak-kanak

Unta jadi ‘perpustakaan’ untuk kanak-kanak

Unta bernama Roshan menghantar buku ke perkampungan terpencil Pakistan bagi memberi peluang kanak-kanak mendapatkan bahan bacaan ketika sekolah ditutup.

Sekumpulan kanak-kanak mengerumuni Roshan untuk melihat buku yang dibawanya.

Tiada apa yang mampu mengembirakan sekumpulan kanak-kanak di sebuah kawasan terpencil di Pakistan selain melihat seekor unta bernama Roshan berjalan ke arah mereka.

Ini kerana, unta yang sering menjadi pengangkutan utama di kawasan padang pasir kini membawa muatan bernilai iaitu pelbagai jenis buku untuk mereka.

Projek Perpustakaan Unta itu bagi membantu kanak-kanak terbabit mendapatkan bahan ilmu dari rumah berikutan tidak dapat lagi ke sekolah akibat pandemik Covid-19.

Sekolah di Pakistan adalah yang pertama ditutup sejak mula dilanda pandemik pada Mac tahun lalu, membabitkan kira-kira 50 juta murid dan pelajar selain mahasiswa yang turut diarahkan meneruskan pengajian di rumah.

Disebabkan kanak-kanak terbabit kebanyakannya tinggal di kawasan terpencil dan sukar dilalui kenderaan, Roshan adalah jalan terbaik untuk menghantar buku.

Bagi kawasan seperti Balochistan, ia agak sukar untuk penduduk yang langsung tidak dapat menikmati kemudahan internet.

Pengetua sekolah yang mengasaskan projek itu bersama kakaknya seorang menteri persekutuan, Raheema Jalal berkata, ia dimulakan pada Ogos lalu kerana ingin memastikan kanak-kanak terbabit dapat belajar ketika sekolah ditutup.

Menurutnya, dia harap dapat memperluaskan projek itu ke kampung lain namun, ia memerlukan peruntukan sekitar $118 (RM483) sebulan.

Projek itu adalah kerjasama dengan Amanah Pendidikan Wanita dan Persatuan Bas Buku Alif Laila serta dua lagi pertubuhan bukan kerajaan yang mengendalikan projek perpustakaan di negara itu sejak 36 tahun lalu.

Roshan ditugaskan membawa buku ke empat perkampungan di daerah Kech dan ia dihantar ke setiap kampung sebanyak tiga kali seminggu dengan meluangkan masa selama dua jam.

Biasanya, kanak-kanak itu akan meminjam buku dan akan memulangkannya ketika Roshan kembali semula ke kampung mereka.

“Saya suka buku bergambar kerana cerita yang dibaca mudah difahami sekiranya beserta dengan gambar,” kata Ambareen Imran,9.

Sementara itu, pemilik Roshan, Murad Ali berkata, dia terkejut apabila dihubungi oleh pengetua terbabit yang berminat untuk menggunakan Roshan untuk projek terbabit.

Bagaimanapun, dia berbesar hati dapat memberi sumbangan dan gembira melihat reaksi kanak-kanak terbabit selain dapat menjana pendapatan sama seperti ketika dia melakukan kerja menghantar kayu api.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.